"Jika ada sesiapa yang pinta CINTAmu, katakanlah ianya hanya pada Allah,
Jika ada sesiapa yang pinta KASIHmu, katakanlah ianya hanya pada Rasulullah,
Jika ada sesiapa yang pinta RINDU dan SAYANGmu, katakanlah ianya hanya pada ibu dan ayah,
...dan...
Jika ada sesiapa yang pinta untuk di HATImu, maka berilah ia kepada kepada orang yang benar-benar menghargainya"

Saturday, August 11, 2012

Kasihmu 8

8
Suasana petang yang nyaman. Shaheen ambil angin di beranda. Terasa lapang fikirannya. Sesekali luruh dedaun kering dari pohon manggis di halaman rumah. Begitulah lumrah hidup. Yang muda akan merasa tua dan yang tua akan menghadapi mati. Bagaikan daun kering itu. Tersungkur ke bumi. Dimamah alam. Shaheen bersyukur dia masih berupaya menikmati anugerah Ilahi serta bersaing untuk kesenangan di hari tua.
Pon! Pon! Pon!

Ketenangan Shaheen terganggu. Shaheen sedikit terkejut. Kereta kelabu di halaman rumah amat dikenalinya. WBY7727 menginggatkannya pada seseorang. Teman yang sudah lama tidak ketemu. Shaheen masih terpempan di kerusi rotan di beranda. Hatinya berdebar-debar.
“Sha apa yang tercegat di situ. Itu anak buah Mak Ngah sebelah Pak Ngah kau tu,” ucap Mak Ngah Sofi.

Shaheen bagaikan tidak percaya apabila anak muda itu keluar dari kereta, menuju ke bonet kereta. Mengeluarkan beg dan barang-barangnya. Mak Ngah Sofi lebih dulu menuruni anak tangga menyambut tetamu yang datang.
“Sha mari ambilkan barang-barang ni. Bawa masuk,” pinta Mak Ngah Sofi.
Shaheen bagaikan anak kecil, akur. Dituruni anak tangga perlahan-lahan. Barang-barang keperluan dapur bertukar tangan. Wajahnya ditundukkan. Tanpa kata Shaheen terus naik ke atas menuju ke dapur. Dari dapur terdengar perbualan Mak Ngah Sofi yang bertanya itu ini pada tetamu muda itu.
“Mak Ngah apa khabar? Mak dan Abah sekeluarga berkirim salam,” sapa anak muda itu sewaktu menyalami tangan tua itu.
“Waalaikumsalam. Mak Ngah sihat. Macam nilah.”
“Eh Syam marilah naik.”
Hisyam mengikut Mak Ngah Sofi naik ke atas rumah. Di ruang tamu Hisyam melabuhkan punggungnya. Melepaskan lelah selepas penat memandu tadi.
“Apa mimpi kau datang jengguk Mak Ngah ni. Telefon tidak, alih-alih muncul je.”
”Saja nak abiskan cuti. Duduk di KL tu runsing jadinya.”
Shaheen di dapur hanya mendengar perbualan Mak Ngah Sofi dan Hisyam. Tangannya ligat mengacau air teh panas di dalam jag. Dikeluarkan juga bingka ubi lalu disusun di atas piring. Ditatangnya dulang berisi minuman bersama bingka ubi dengan hati-hati. Hatinya masih berdebar.
“Mak Ngah ni airnya.”
Mak Ngahnya senyum. Shaheen terasa langkahnya canggung. Langkahnya terasa tempang. Tetamu yang tidak diduga bagaikan memandangnya. Dulang diletakkan di atas meja kopi di depan Mak Ngah Sofi dan Hisyam dengan tertib. Dituangnya air teh ke dalam kedua-dua cawan di depan mata. Waktu dia hendak berlalu, Mak Ngah Sofi memanggilnya.
“Sha mari duduk sama. Boleh kenal-kenal dengan anak buah Mak Ngah.”
Langkahnya mati di situ. Shaheen berpatah semula lalu duduk di sebelah Mak Ngah Sofi. Berhadapan dengan Suffian. “Ni Hisyam anak buah Pak Ngah. Anak abang Pak Ngah kau,” ujar Mak Ngah Sofi.
Shaheen terkesima. Shaheen memandang wajah Mak Ngahnya sebelum matanya beralih memandang Hisyam. Senyuman nipis terukir di bibir Shaheen bagi menutup debar di dada. Hisyam turut senyum. ‘Lama kau menyepi. Akhirnya di rumah Mak Ngah kita bertemu,” ucap Hisyam di dalam hati. Hisyam masih ingat wajah ayu itu. Wajah yang pernah dan masih mengganggu hidupnya selama ini.
“Apa khabar?” tanya Hisyam berbahasa.
“Baik,” sepatah kata terucap dari bibir Shaheen.
Suasana sepi lagi. Shaheen tunduk memandang kaki meja kecil di hadapannya. Terasa sedikit tenang dia begitu. Hisyam mencuri-curi pandang wajah gadis di depan mata.
“Syam minum ya, nanti sejuk,” Mak Ngah Sofi bersuara lembut. “Macam tau-tau aja kau nak datang. Ni  ha kuih kesukaan kau. Rasa la,” pelawa Mak Ngah Sofi.
Shaheen resah di situ. Terasa sepasang mata itu masih menatapnya.
“Mak Ngah Sha masuk dulu ya,” pintanya lantas bangun dan berlalu ke dapur semula. Lega hatinya.
Hisyam mengikuti langkah Shaheen dengan ekor matanya. ‘Banyak masa lagi,’ Hisyam memujuk dirinya. Rancak Mak Ngah Sofi dan Hisyam berbual sambil menikmati minum petang.
“Lama Syam tak datang rumah Mak Ngah. Ingatkan dah lupakan Mak Ngah,” seloroh Mak Ngah Sofi.
Hisyam tersenyum. “Mana ada lupa Mak Ngah. Cuma sekarang banyak kerja sejak Syam tukar deparment ni. Dari marketing ke finance. Hmm penat la Mak Ngah. Nak sesuaikan diri lagi,” adu Hisyam. “Mana boleh lupakan Mak Ngah kan. Syam tak ingat jer,” sambung Hisyam lagi.
Serentak Mak Ngah Sofi dan Hisyam ketawa. Meski pun Pak Ngah Yassin telah pun meninggal dunia, namun Hisyam tetap mengunjungi Mak Ngah Sofi. Hubungan Hisyam dan keluarga arwah Pak Ngah Yassin rapat. Hisyam bagaikan anak sendiri buat Mak Ngah Sofi. Sementelah Mak Ngah Sofi tidak dikurniakan zuriat selepas Mak Ngah Sofi terjatuh dan keguguran 25 tahun yang lalu. Kehadiran Hisyam dan Shaheen menjadi penawar buat Mak Ngah Sofi dan Arwah Pak Ngah Yassin semasa hayatnya. Anak-anak saudara menjadi tempat bermanja dan menumpahkan kasih sayang.
“Mak abah kau apa khabar Syam?”
“Mak dengan Abah sihat Mak Ngah. Cuma Abah tu sesekali semputnya datang juga. Abah kan ada lelah.”
“Kenapa tak bawak Mak Abah sama Syam. Lama juga Mak Ngah tak jumpa Mak Abah Syam tu.”
“Mak Ngah bukan tak tau Mak dengan Abah tu. Mana mau jalan jauh-jauh. Nanti sakit pinggang la. Kesian nak tinggalkan si kucing Oren tu. Nanti takde orang bagi makan la. Sudahnya Syam sorang je la datang jengguk Mak Ngah,” bagitau Hisyam.
Mak Ngah Sofi hanya angguk. Diperhatinya Hisyam. Terdetik di hati jika anaknya masih hidup, pasti anaknya juga sebaya Hisyam mahupun Shaheen. Tentulah hidupnya tidak sunyi. Namun cepat-cepat dia sedar. ‘Astaghfirullah,’ ucap Mak Ngah Sofi. Dia sedar itu semua ketentuan Yang Maha Esa. Sesungguhnya dia redha dan berlapang dada menerima ujian dariNya.
“Mak Ngah sedap bingka ni.”
“Sha yang buat ni tadi. Semalam kami cabut ubi kat belakang tu. Ni yang buat bingka ni ha. Bukan senang nak rasa air tangan anak saudara Mak Ngah ni tau.”
Hisyam menyuap lagi bingka ubi ke mulut. ‘Pandai dia buat kuih favourite aku ni,’ puji Hisyam dalam diam.
“Eh Syam, naper kau senyum-senyum tu,” tegur Mak Ngah Sofi.
“Tak ada lah. Ni ha bingka ni sedap.”
Mak Ngah Sofi senyum cuma. “Berapa hari cuti kali ni.”
“Lebih kurang seminggu Mak Ngah.”
“Bagus la. Boleh temankan Mak Ngah.”
Hisyam senyum. “Mak Ngah…”
“Ada apa Syam. Kau nak tambah bingka lagi ke?”
Pecah tawa Hisyam. “Eh ke situ pulak Mak Ngah ni. Tak la. Syam nak tanya Mak Ngah, kenapa selama ni Mak Ngah tak cerita pun yang Mak Ngah ada anak saudara sebesar itu. Tak pernah pun Syam terjumpa dia masa Syam ke sini.”
“Shaheen tu selalu juga datang sini. Cuma tak ada rezeki jumpa kau la tu. Mak Ngah ingat kau tak reti nak tanya hal-hal keluarga sebelah Mak Ngah. Jadi tak ada lah Mak Ngah cerita.”
“Sha tu dah keje ke Mak Ngah.”
“Lepas habis belajar dulu dia tolong uruskan perusahaan keluarga.  Adik Mak Ngah, Pak Lang Suffian orang berniaga. Apa ya..pot..pot, ish tak pandai Mak Ngah nak sebut..itu la yang jual beli kayu jati,” kata-kata Mak Ngah Sofi mengundang tawa Hisyam.
“Oh import eksport la Mak Ngah,” balas Hisyam dengan ketawa yang masih bersisa.
“Itu kereta bawah pokok manggis tu kereta dia la tu. Baru je beli hasil titik peluh dia bekerja,” ucap Mak Ngah bangga.
Hisyam mendengar penuh minat. Dia masih ingat suatu ketika dahulu mereka pernah bertekak hanya disebabkan pilihan kereta yang ingin dibeli oleh si gadis. Akhirnya dia mengalah dan akur tatkala si gadis nekad mahu memiliki Proton Perdana biar pun banyak kereta lain yang Hisyam cadangkan. Rupanya impian tersebut berjaya dicapai. Buktinya di depan mata. Perdana impian si gadis.
Jika diikutkan rasa ingin tahunya, banyak lagi yang mahu ditanya perihal Shaheen yang hilang dari hidupnya sejak 7 tahun yang lalu. Silapnya juga hinggakan Shaheen menyepi tanpa berita. Jika bukan ego dan sikapnya yang pentingkan kerjaya pada masa itu, pastinya Shaheen sudah dimilikinya. Apa kan daya, sesalnya kini tiada gunanya. Peluang kedua ini jangan disia-siakan. Begitulah Hisyam berkira-kira di dalam hati.
“Syam kenapa ni, Mak Ngah tanya kau diam je.”
“Penat sikit la Mak Ngah. Erm dah lama ke Sha kat sini, Mak Ngah.”
"Dah dua hari. Esok lusa balik Kolumpo la tu. Kerja.”
Hisyam angguk. Sambil itu ligat dia berfikir. Cara terbaik untuk mendekati Shaheen agar dia tidak kecewa kali ini.

(Sambung)

Sunday, August 5, 2012

Kasihmu 7

7

“Mak Teh, Een ada call ke,” tanya Puan Asyikin pada pembantu rumahnya.
“Ada minggu lepas. Tapi Puan dan Tuan tak ada masa tu. Een ikut kawannya ke Arau,” jawab Mak Teh lancar. “Katanya lagi mungkin dia lama di sana. Dia kirim salam pada Puan dan Tuan,” sambung Mak Teh.
“Waalaikumsalam,” Puan Asyikin menjawab salam. Dia merenung jauh. Terdetik juga rasa bersalah di hati. Anaknya seorang yang sering ditinggalkan. Seingatnya sejak suaminya bergelar usahawan kayu jati, dari mula suaminya berjinak-jinak dengan perniagaan sudah 5 tahun berlalu. Tiada masa bersama anak tunggalnya. Apa kan daya dia sentiasa perlu di sisi suaminya. Encik Sufian sentiasa ke luar daerah hinggakan ke luar negara. Semuanya untuk tujuan mengembangkan perniagaan milik suaminya. Puan Asyikin akur dengan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Tempatnya di sisi suami tercinta. Malah Encik Suffian sendiri mahu isterinya mengikut ke mana sahaja dia berurusan di kala dia menguruskan perniagaan mereka. Puan Asyikin juga terkilan tidak dapat melihat perkembangan Shaheen. Dia juga terlepas saat menghantar anaknya ke menara gading. Kasihan Shaheen. Bahkan sudah beberapa kali Shaheen merajuk panjang akibat keterlupaan Puan Asyikin menunaikan janji yang dibuat bersama anak kesayangannya.
Kesal bertamu di hati Puan Asyikin. Selama 5 tahun itu hanya hadiah serta wang ringgit yang mengantikan kasih sayang terhadap Shaheen. ‘Ada masa akan kuhabiskan dengan permata hatiku,’ bisik Puan Asyikin berjanji pada diri dengan penuh keazaman.
“Jauh mengelamun pagi-pagi ni,” tegur Encik Sufian.
Tersentak seketika Puan Asyikin. Namun senyum terukir di bibir. “Teringatkan Een,” ringkas jawapan Puan Asyikin.
“Anak dah besar panjang. Usah risau,” bersahaja Encik Suffian berbicara. Tangannya mencapai surat khabar di atas meja. Matanya laju membaca tajuk-tajuk utama akhbar.
“Bang sebab dia dah besar la Qin risau,” balas Puan Asyikin. Tangannya lincah menuang kopi dan menyendukkan nasi goreng kegemaran suaminya. Matanya dipandang tepat ke muka sang suami. Tiada reaksi. Encik Sufian masih leka dengan akhbar di tangan. Ruangan ekonomi menarik minat Encik Suffian untuk terus membaca. Kata-kata Puan Asyikin berlalu begitu sahaja.
“Ada dia telefon?” tanya Encik Suffian sebelum menghirup air kopi yang masih berasap itu. Aroma kopi itu sudah cukup membangkitkan selera Encik Suffian di pagi minggu itu. Ditambah lagi dengan bau nasi goreng kegemarannya. Surat khabar dilipat dan diletak ke tepi.
“Ada. Een di Perlis. Rumah kawan,” ucap Puan Asyikin. Pandangan matanya masih lagi ke arah suaminya yang sedang menyudu nasi goreng ke mulut. “Dia kirim salam pada abang.”
“Waalaikumsalam,” jawab Encik Suffian sambil meneruskan suapan. “Bagus la tu. Biarla dia berjalan. Suasana baru, kenal tempat orang. Tak lama lagi balik la tu. Usah la sayang risaukan. Anak kita tu dah besar.Tau la dia jaga diri,” kata Encik Suffian menenangkan Puan Asyikin.
“Abang semalam Puan Sri Sofia ada call. Dia ingatkan kita untuk hadir ke majlis ulang tahun perkahwinannya dengan Tan Sri Amiruddin tu. Abang nak pergi,” tanya Puan Asyikin.
Encik Sufian yang baru selesai menjamu selera paginya tunduk sambil tangan kirinya memegang dagunya yang berlekuk. “Elok la kita pergi. Lagi pun awal-awal lagi Tan Sri dah jemput kita,” putus Encik Suffian.
Puan Asyikin hanya mengangguk. Kemudian Mak Teh dipanggilnya. “Mak Teh malam ni tak usah masak banyak ya. Saya dan tuan akan makan di luar. Di rumah Tan Sri Amirrudin. Masak untuk Mak Teh, Pak Akob dan Amat sudah la,” beritahu Puan Asyikin lembut. Wanita separuh abad itu mengangguk faham dan terus berlalu ke dapur menyambung kerja-kerja yang terhenti tadi.

Kasihmu 6

6

i.
“Eh dah sampai ker Jan?” Bas yang mereka naiki berhenti di sebuah terminal bas.
“Belum la Sha. Ni Hentian Kamunting. Bas ni stop amik penumpang.”
Shaheen menggosok mata. Pandangan dihala ke luar tingkap. ‘Kecil je terminal ni. Orang pun tak ramai. Jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Patut la tak ramai orang.’ Sudah 4 jam rupanya mereka di dalam bas.
“Pukul brapa sampai tempat kau Ijan,” tanya Shaheen.
“Lebih kurang 4 pagi nanti sampai la. Kau nak turun tak? Pergi toilet ke?”
Shaheen bangun mengikuti langkah Afzan. Matanya memandang ke kiri dan ke kanan. ‘Bersih tempat ni.’
Tepat pukul 12 malam, bas Transnational bergerak membelah malam. Perjalanan ke utara menuju ke negeri ‘singa utara’. Afzan menurunkan kerusi lalu menyambung semula tidurnya. Shaheen menarik zip baju panas yang dipakai. Aircond ditutup lalu dia bersandar ke kerusi. Shaheen memikirkan apakah suasana yang bakal dilaluinya. Fikirannya teringat kembali kata-kata Afzan. Rumahnya buruk, mandi air perigi. Shaheen terkebil-kebil sendirian. Afzan telah pun lena di sebelahnya. Tanpa sedar dia juga terlelap sehinggalah Afzan mengejutkan dia bangun.
“Kita dah hampir sampai ni Sha. Bangun la.”
Shaheen bangun sambil membetulkan tudung dan baju panas yang dipakai. Afzan bangun menuju ke arah pemandu bas.
“Encik boleh turunkan saya kat depan Sekolah Syed Ahmad.?” Pinta Afzan sopan.
“ Ha buleh..buleh,” jawab pemandu bas agak kuat.
Tiba di destinasi yang dimaksudkan bas pun berhenti. Afzan dan Shaheen turun dengan hati-hati.  Suasana sekeliling gelap sahaja. Hanya lampu jalan yang menerangi tempat itu. Afzan berjalan ke arah pondok telefon. Menelefon ayahnya. Mereka sabar menunggu di seberang jalan.
“Ok Sha, bapak aku dah sampai,” tuding Afzan ke arah kereta merah yang makin mendekat.
“Pukui brapa bertolak tadi?” tanya Encik Ghazali sewaktu anak gadisnya bersalaman dengannya.
“Pukui 8 dari KL tadi Pak. Ha ni kawan orang, Sha.”
“Ha..yang ni ka yang dok sama kat sana,” tanya Encik Ghazali lagi.
“Ha hat ni la Pak,” jawab Afzan mengiakan. Shaheen hanya senyum.
“Jom balik la. Esok kita sembang panjang. Mak hang kat rumah nu dok tunggu hang dah.”
Sampai depan rumah Afzan cepat-cepat meluru keluar dari kereta. Ibunya di muka pintu dipeluk sambil bertanya khabar. Shaheen jadi terharu. Tiba-tiba perasan rindu pada Ummi dan Abi menerpa di dada.
“La awat hang biaq kawan hang dok kat luaq tu. Mai masuk,” panggil Puan Rohani ramah.
“Aih lupa nak habaq. Ni kawan orang, Sha.”
Shaheen maju ke arah Puan Rohani. Shaheen bersalam dengan Puan Rohani. Ramah Puan Rohani di pandangan Shaheen. Dia rasa selesa di situ.
“Hampa lapaq ka? Ni mak pi panaih lauk. Bleh makan sat,” Puan Rohani kalut hendak ke dapur.
Cepat-cepat Afzan memegang tangan emaknya. “ Tak pa mak. Kami dah makan tadi. Takpa mak tak payah dok gaduh sangat la.”
“Sungguh ka ni. Kot kawan hang lapaq. Nasi, lauk pun ada. Memang simpan kat hampa dua la.”
Afzan dan Shaheen sungguh-sungguh mengangguk kepala. Masing-masing sudah lesu dengan perjalanan yang jauh. Hanya bantal sahaja yang terlayar di depan mata.
“Dah lagu tu, pi bawak Sha masuk bilik. Pi la tidoq sat. Penat tu. Esok kita sembang panjang nuh.”
Afzan mengajak Shaheen masuk ke bilik tengah. Sebaik suis lampu dibuka, adik dan kakak Afzan terjaga. Sebaik sahaja melihat Afzan di muka pintu, kedua-duanya terus menerpa dan memeluk Afzan. Sekali lagi Shaheen terharu. Dia melihat betapa mesra dan penuh ikatan kasing sayang Afzan dan adik-beradiknya. Afzan beruntung mempunyai keluarga harmoni. Cepat-cepat Shaheen menyeka manik jernih di hujung mata.
Adik dan kakak Afzan membantu menyediakan tempat tidur buat Afzan dan Shaheen. Mereka berempat mengambil tempat masing-masing. Akhirnya semua terlelap. Mimpi indah akan menjengah kah? 

ii.
“Jan panggil kawan tu makan sama," Puan Rohani bersuara lembut.
Afzan yang sedang menuang air kopi ke dalam cawan bingkas bangun. Shaheen baru lepas mandi.
“Tuan puteri mari lah santap. Hidangan sedang menunggu. Nanti sejuk pula,” usik Afzan.
Shaheen tersenyum mendengar gurauan Afzan. “Baik tuan hamba,” balas Shaheen.
Di ruang tamu mereka mengadap sarapan pagi itu. Suasana yang sejuk dan nyaman begitu selesa bagi Shaheen. Udara segar menerpa masuk melalui tingkap dan pintu yang terbuka luas. Bau nasi lemak serta sambal ikan bilis memenuhi ruang tamu. Perut pun dah mula berbunyi berlagu minta diisi.
“Macam ni keluarga aku. Rumah aku kecik je. Hope kau ok Sha,” ucap Afzan merendah diri.
“Sha tak kisah Jan. Ini pun dah selesa.,” ucap Shaheen.
Encik Ghazali dan Puan Rohani berbalas pandang. Asliza dan Adlina meneruskan suapan tanpa banyak bicara.
“Assalamualaikum,” bunyi suara tetamu di luar rumah.
“Waalaikumsalam,” dijawab seisi rumah.
“Ha Bai. Mai masuk. Makan sekali ni. Rezeki hang dok ada ni.” Panggil Encik Ghazali pada anak saudaranya.
Pemuda tinggi lampai itu masuk perlahan-lahan. Tiba-tiba langkahnya terhenti. “Eh ni bila balik mai Jan?” tanyanya ramah.
“Pagi tadi orang sampai. Abang Bai ada bawak roti canai dak? Roti jala ka,” tanya Afzan.
“La lupa pulak. Ada dalam raga moto. Sat abang pi ambik,” jawab Bai seraya bangun.
Shaheen hanya mendang tanpa suara. Dalam hati tertanya-tanya juga siapa lelaki itu. Tidak pernah Afzan menceritakan apa-apa tentang lelaki yang dipanggil Bai itu seingatnya. Ingin ditanya tapi mulutnya bagaikan terkunci.
“Mai ambik , ni dok ada 4 kepin roti. Untuk Dik Ja dengan Kak Na. Mana tau Jan ada,” Bai menghulurkan plastik berisi roti canai kepada Afzan. Bungkusan plastik bertukar tangan.
“Dah tu Jan x bleh makan ka?” tanya Afzan dalam nada merajuk.
“La dak aih. Kongsi la dengan Dik Ja. Buleh ka Dik Ja?” tanya Bai memandang Asliza yang duduk di sebelah Encik Ghazali.
“Kali ni buleh. Lain kali Abang Bai kena bagi lebih. Ganti,” balas Asliza. Semua ketawa mendengar jawapan Asliza.
“Cepat la besaq Dik Ija lepaih ni,” sambung Adlina pula.
“Ijan pi ambik cawan dengan pinggan kat Abang Bai tu. Tuang ayaq kopi. Tu nasi lemak ada, cedok bagi Abang Bai hang,” arah Puan Rohani.  Tanpa banyak kata, Afzan menuruti arahan ibunya.
“Ni kawan Ijan. Depa ni sama-sama dok belajaq,” beritahu Encik Ghazali pada Bai yang dari tadi asyik mengangkat kening ke arah Encik Ghazali. Isyarat bertanya siapa tetamu di depan mata. “Ni anak sedara pakcik. Kerja tebaq roti kat café ITM Arau ni,” Encik Ghazali memperkenalkan anak saudaranya pada Shaheen.
Shaheen senyum.

iii.

“Sha kau tak rindukan Ummi dan Abi kau ke?”
“Entah la Ijan. Kalau aku balik ke rumah pun belum tentu Ummi dengan Abi aku ada di rumah.”
Afzan cukup memahami perasaan Shaheen. Mereka bersahabat sejak matrikulasi lagi. Banyak kisah suka dan duka Shaheen yang diketahui Afzan, termasuk perihal keluarga Shaheen. Rasa simpati menyusup ke dalam dada Afzan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Dia bersyukur mempunyai keluarga yang sentiasa ada bersama tidak kira walau apa pun keadaannya.
Petang itu Afzan membawa Shaheen berjalan-jalan di sekitar Tasik Elham, UiTM Arau itu. Suasana petang itu cukup mendamaikan. Sang suria juga bersinar cerah dengan angin bertiup lembut.
“Ada student berkayak la Sha. Jom ke sana,” ajak Afzan yang sudah pun melangkah ke hujung tasik. Shaheen mengikut dari belakang.
“Hai Afzan, bila balik,” sapa Amiza yang bersama-sama di dalam kumpulan yang berkayak itu. Kebanyakan pelajar di situ mengenali Afzan. Apatah lagi Encik Ghazali adalah Pengurus Asrama di situ.
“Dua tiga hari dah. Baru hari ni terasa nak ambil angin sikit,” jawab Afzan.
”Marilah naik kayak dengan kami, “ pelawa Idham pula.
“Terima kasih la Idham. Lain kali ya, hari pun dah lewat ni,” tolak Afzan.
“Apa nak buat orang tak sudi,” balas Airul Hakimi dalam nada hampa yang dibuat-buat. Airul Hakimi berada paling hampir dengan tebing tasik. “Tak nak kenalkan ke kawan kat sebelah tu,” sambung Airul Hakimi dengan bersahajanya mengenyit mata ke arah Shaheen.
Afzan menoleh ke arah Shaheen. “Kenalkan ni roommates Izan, Shaheen,” Afzan memperkenalkan sahabat di sisi.
“Amboi cantik nama, secantik orangnya,” celah Hamdan dengan suara lantangnya.
“Jaga-jaga ada ulat bulu nak naik ke daun. Gatal nanti,” usik Amiza sambil mendayung menghampiri Afzan di tebing tasik. Teman-teman yang seramai 9 orang itu gelak sakan mendengar kata-kata Amiza itu. Mereka sedia maklum perangai Hamdan yang memang pantang nampak perempuan cantik. Ada sahaja modal dia mahu berkenalan.  
“Ok la semua, kami gerak dulu la,” Afzan meminta diri. “Ada masa kita jumpa lagi ya. Bye semua.”
“Afzan kirim salam dengan parents kau yer. Bagitau bakal menantu kirim salam,” jerit Hamdan. Masing-masing tergelak dengan gelagat Hamdan.
Afzan dan Shaheen melangkah sambil senyum. Langkah disusun meninggalkan kumpulan pelajar yang menyertai Kelab Outbound itu. Memang setiap petang mereka akan berkumpul di kawasan tasik untuk melakukan aktiviti riadah. Kalau tidak berkayak, mereka akan berjoging atau bermain bola tampar. Afzan juga turut menyertai mereka setiap kali dia pulang bercuti. Pernah juga Afzan mengikuti mereka di dalam ekspedisi berkayak di Taman Negara beberapa tahun yang lepas. Aktiviti yang tidak mungkin Afzan lupakan.


iv.
Seminggu lamanya Shaheen berada di Arau Perlis. Rumah keluarga Afzan dirasakan seperti rumah sendiri. Penerimaan Encik Ghazali dan Puan Rohani sangat mesra. Shaheen dilayan seperti anak sendiri. Begitu juga dengan adik-beradik Afzan. Hubungan mereka juga semakin erat.

Sempat juga Shaheen dibawa berjalan-jalan di Bandar Arau. Pusing-pusing seluruh Perlis. Paling tidak dapat Shaheen lupakan bila dia serta keluarga Afzan pergi berkelah di Bukit Ayer. Hutan Lipur Bukit Ayer ni tempat mandi-manda sebab ada air terjun, boleh berkelah juga terdapat aktiviti riadah di situ. Masuk pun percuma je.
Berat hatinya ingin meninggalkan Afzan sekeluarga. Suasana kekeluargaan yang dikecapinya selama berada di dalam keluarga Afzan sangat indah.
“Ijan esok aku nak balik umah la,” kata Shaheen.
“Eh kenapa nak balik ni? Cuti sem kan lama lagi. Lepak la lama sikit,” cadang Afzan bersungguh.
Shaheen diam. Dia tidak mahu menyusahkan Encik Ghazali dan Puan Rohani. Shaheen masih ingat tazkirah yang dihadirinya. Tazkirah yang mengupas isu adap melalayan tetamu.
‘Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah memuliakan tetamu dengan member layanan kepadanya.”  Sahabat bertanya, “Apakah layanan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Layanan istimewa selama sehari semalam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa 3 hari. Layanan yang diberikan selepas tempoh itu dikira sebagai sedekah.” Muttafaqun ‘Alaihi.'

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim