"Jika ada sesiapa yang pinta CINTAmu, katakanlah ianya hanya pada Allah,
Jika ada sesiapa yang pinta KASIHmu, katakanlah ianya hanya pada Rasulullah,
Jika ada sesiapa yang pinta RINDU dan SAYANGmu, katakanlah ianya hanya pada ibu dan ayah,
...dan...
Jika ada sesiapa yang pinta untuk di HATImu, maka berilah ia kepada kepada orang yang benar-benar menghargainya"

Sunday, August 5, 2012

Kasihmu 6

6

i.
“Eh dah sampai ker Jan?” Bas yang mereka naiki berhenti di sebuah terminal bas.
“Belum la Sha. Ni Hentian Kamunting. Bas ni stop amik penumpang.”
Shaheen menggosok mata. Pandangan dihala ke luar tingkap. ‘Kecil je terminal ni. Orang pun tak ramai. Jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Patut la tak ramai orang.’ Sudah 4 jam rupanya mereka di dalam bas.
“Pukul brapa sampai tempat kau Ijan,” tanya Shaheen.
“Lebih kurang 4 pagi nanti sampai la. Kau nak turun tak? Pergi toilet ke?”
Shaheen bangun mengikuti langkah Afzan. Matanya memandang ke kiri dan ke kanan. ‘Bersih tempat ni.’
Tepat pukul 12 malam, bas Transnational bergerak membelah malam. Perjalanan ke utara menuju ke negeri ‘singa utara’. Afzan menurunkan kerusi lalu menyambung semula tidurnya. Shaheen menarik zip baju panas yang dipakai. Aircond ditutup lalu dia bersandar ke kerusi. Shaheen memikirkan apakah suasana yang bakal dilaluinya. Fikirannya teringat kembali kata-kata Afzan. Rumahnya buruk, mandi air perigi. Shaheen terkebil-kebil sendirian. Afzan telah pun lena di sebelahnya. Tanpa sedar dia juga terlelap sehinggalah Afzan mengejutkan dia bangun.
“Kita dah hampir sampai ni Sha. Bangun la.”
Shaheen bangun sambil membetulkan tudung dan baju panas yang dipakai. Afzan bangun menuju ke arah pemandu bas.
“Encik boleh turunkan saya kat depan Sekolah Syed Ahmad.?” Pinta Afzan sopan.
“ Ha buleh..buleh,” jawab pemandu bas agak kuat.
Tiba di destinasi yang dimaksudkan bas pun berhenti. Afzan dan Shaheen turun dengan hati-hati.  Suasana sekeliling gelap sahaja. Hanya lampu jalan yang menerangi tempat itu. Afzan berjalan ke arah pondok telefon. Menelefon ayahnya. Mereka sabar menunggu di seberang jalan.
“Ok Sha, bapak aku dah sampai,” tuding Afzan ke arah kereta merah yang makin mendekat.
“Pukui brapa bertolak tadi?” tanya Encik Ghazali sewaktu anak gadisnya bersalaman dengannya.
“Pukui 8 dari KL tadi Pak. Ha ni kawan orang, Sha.”
“Ha..yang ni ka yang dok sama kat sana,” tanya Encik Ghazali lagi.
“Ha hat ni la Pak,” jawab Afzan mengiakan. Shaheen hanya senyum.
“Jom balik la. Esok kita sembang panjang. Mak hang kat rumah nu dok tunggu hang dah.”
Sampai depan rumah Afzan cepat-cepat meluru keluar dari kereta. Ibunya di muka pintu dipeluk sambil bertanya khabar. Shaheen jadi terharu. Tiba-tiba perasan rindu pada Ummi dan Abi menerpa di dada.
“La awat hang biaq kawan hang dok kat luaq tu. Mai masuk,” panggil Puan Rohani ramah.
“Aih lupa nak habaq. Ni kawan orang, Sha.”
Shaheen maju ke arah Puan Rohani. Shaheen bersalam dengan Puan Rohani. Ramah Puan Rohani di pandangan Shaheen. Dia rasa selesa di situ.
“Hampa lapaq ka? Ni mak pi panaih lauk. Bleh makan sat,” Puan Rohani kalut hendak ke dapur.
Cepat-cepat Afzan memegang tangan emaknya. “ Tak pa mak. Kami dah makan tadi. Takpa mak tak payah dok gaduh sangat la.”
“Sungguh ka ni. Kot kawan hang lapaq. Nasi, lauk pun ada. Memang simpan kat hampa dua la.”
Afzan dan Shaheen sungguh-sungguh mengangguk kepala. Masing-masing sudah lesu dengan perjalanan yang jauh. Hanya bantal sahaja yang terlayar di depan mata.
“Dah lagu tu, pi bawak Sha masuk bilik. Pi la tidoq sat. Penat tu. Esok kita sembang panjang nuh.”
Afzan mengajak Shaheen masuk ke bilik tengah. Sebaik suis lampu dibuka, adik dan kakak Afzan terjaga. Sebaik sahaja melihat Afzan di muka pintu, kedua-duanya terus menerpa dan memeluk Afzan. Sekali lagi Shaheen terharu. Dia melihat betapa mesra dan penuh ikatan kasing sayang Afzan dan adik-beradiknya. Afzan beruntung mempunyai keluarga harmoni. Cepat-cepat Shaheen menyeka manik jernih di hujung mata.
Adik dan kakak Afzan membantu menyediakan tempat tidur buat Afzan dan Shaheen. Mereka berempat mengambil tempat masing-masing. Akhirnya semua terlelap. Mimpi indah akan menjengah kah? 

ii.
“Jan panggil kawan tu makan sama," Puan Rohani bersuara lembut.
Afzan yang sedang menuang air kopi ke dalam cawan bingkas bangun. Shaheen baru lepas mandi.
“Tuan puteri mari lah santap. Hidangan sedang menunggu. Nanti sejuk pula,” usik Afzan.
Shaheen tersenyum mendengar gurauan Afzan. “Baik tuan hamba,” balas Shaheen.
Di ruang tamu mereka mengadap sarapan pagi itu. Suasana yang sejuk dan nyaman begitu selesa bagi Shaheen. Udara segar menerpa masuk melalui tingkap dan pintu yang terbuka luas. Bau nasi lemak serta sambal ikan bilis memenuhi ruang tamu. Perut pun dah mula berbunyi berlagu minta diisi.
“Macam ni keluarga aku. Rumah aku kecik je. Hope kau ok Sha,” ucap Afzan merendah diri.
“Sha tak kisah Jan. Ini pun dah selesa.,” ucap Shaheen.
Encik Ghazali dan Puan Rohani berbalas pandang. Asliza dan Adlina meneruskan suapan tanpa banyak bicara.
“Assalamualaikum,” bunyi suara tetamu di luar rumah.
“Waalaikumsalam,” dijawab seisi rumah.
“Ha Bai. Mai masuk. Makan sekali ni. Rezeki hang dok ada ni.” Panggil Encik Ghazali pada anak saudaranya.
Pemuda tinggi lampai itu masuk perlahan-lahan. Tiba-tiba langkahnya terhenti. “Eh ni bila balik mai Jan?” tanyanya ramah.
“Pagi tadi orang sampai. Abang Bai ada bawak roti canai dak? Roti jala ka,” tanya Afzan.
“La lupa pulak. Ada dalam raga moto. Sat abang pi ambik,” jawab Bai seraya bangun.
Shaheen hanya mendang tanpa suara. Dalam hati tertanya-tanya juga siapa lelaki itu. Tidak pernah Afzan menceritakan apa-apa tentang lelaki yang dipanggil Bai itu seingatnya. Ingin ditanya tapi mulutnya bagaikan terkunci.
“Mai ambik , ni dok ada 4 kepin roti. Untuk Dik Ja dengan Kak Na. Mana tau Jan ada,” Bai menghulurkan plastik berisi roti canai kepada Afzan. Bungkusan plastik bertukar tangan.
“Dah tu Jan x bleh makan ka?” tanya Afzan dalam nada merajuk.
“La dak aih. Kongsi la dengan Dik Ja. Buleh ka Dik Ja?” tanya Bai memandang Asliza yang duduk di sebelah Encik Ghazali.
“Kali ni buleh. Lain kali Abang Bai kena bagi lebih. Ganti,” balas Asliza. Semua ketawa mendengar jawapan Asliza.
“Cepat la besaq Dik Ija lepaih ni,” sambung Adlina pula.
“Ijan pi ambik cawan dengan pinggan kat Abang Bai tu. Tuang ayaq kopi. Tu nasi lemak ada, cedok bagi Abang Bai hang,” arah Puan Rohani.  Tanpa banyak kata, Afzan menuruti arahan ibunya.
“Ni kawan Ijan. Depa ni sama-sama dok belajaq,” beritahu Encik Ghazali pada Bai yang dari tadi asyik mengangkat kening ke arah Encik Ghazali. Isyarat bertanya siapa tetamu di depan mata. “Ni anak sedara pakcik. Kerja tebaq roti kat café ITM Arau ni,” Encik Ghazali memperkenalkan anak saudaranya pada Shaheen.
Shaheen senyum.

iii.

“Sha kau tak rindukan Ummi dan Abi kau ke?”
“Entah la Ijan. Kalau aku balik ke rumah pun belum tentu Ummi dengan Abi aku ada di rumah.”
Afzan cukup memahami perasaan Shaheen. Mereka bersahabat sejak matrikulasi lagi. Banyak kisah suka dan duka Shaheen yang diketahui Afzan, termasuk perihal keluarga Shaheen. Rasa simpati menyusup ke dalam dada Afzan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Dia bersyukur mempunyai keluarga yang sentiasa ada bersama tidak kira walau apa pun keadaannya.
Petang itu Afzan membawa Shaheen berjalan-jalan di sekitar Tasik Elham, UiTM Arau itu. Suasana petang itu cukup mendamaikan. Sang suria juga bersinar cerah dengan angin bertiup lembut.
“Ada student berkayak la Sha. Jom ke sana,” ajak Afzan yang sudah pun melangkah ke hujung tasik. Shaheen mengikut dari belakang.
“Hai Afzan, bila balik,” sapa Amiza yang bersama-sama di dalam kumpulan yang berkayak itu. Kebanyakan pelajar di situ mengenali Afzan. Apatah lagi Encik Ghazali adalah Pengurus Asrama di situ.
“Dua tiga hari dah. Baru hari ni terasa nak ambil angin sikit,” jawab Afzan.
”Marilah naik kayak dengan kami, “ pelawa Idham pula.
“Terima kasih la Idham. Lain kali ya, hari pun dah lewat ni,” tolak Afzan.
“Apa nak buat orang tak sudi,” balas Airul Hakimi dalam nada hampa yang dibuat-buat. Airul Hakimi berada paling hampir dengan tebing tasik. “Tak nak kenalkan ke kawan kat sebelah tu,” sambung Airul Hakimi dengan bersahajanya mengenyit mata ke arah Shaheen.
Afzan menoleh ke arah Shaheen. “Kenalkan ni roommates Izan, Shaheen,” Afzan memperkenalkan sahabat di sisi.
“Amboi cantik nama, secantik orangnya,” celah Hamdan dengan suara lantangnya.
“Jaga-jaga ada ulat bulu nak naik ke daun. Gatal nanti,” usik Amiza sambil mendayung menghampiri Afzan di tebing tasik. Teman-teman yang seramai 9 orang itu gelak sakan mendengar kata-kata Amiza itu. Mereka sedia maklum perangai Hamdan yang memang pantang nampak perempuan cantik. Ada sahaja modal dia mahu berkenalan.  
“Ok la semua, kami gerak dulu la,” Afzan meminta diri. “Ada masa kita jumpa lagi ya. Bye semua.”
“Afzan kirim salam dengan parents kau yer. Bagitau bakal menantu kirim salam,” jerit Hamdan. Masing-masing tergelak dengan gelagat Hamdan.
Afzan dan Shaheen melangkah sambil senyum. Langkah disusun meninggalkan kumpulan pelajar yang menyertai Kelab Outbound itu. Memang setiap petang mereka akan berkumpul di kawasan tasik untuk melakukan aktiviti riadah. Kalau tidak berkayak, mereka akan berjoging atau bermain bola tampar. Afzan juga turut menyertai mereka setiap kali dia pulang bercuti. Pernah juga Afzan mengikuti mereka di dalam ekspedisi berkayak di Taman Negara beberapa tahun yang lepas. Aktiviti yang tidak mungkin Afzan lupakan.


iv.
Seminggu lamanya Shaheen berada di Arau Perlis. Rumah keluarga Afzan dirasakan seperti rumah sendiri. Penerimaan Encik Ghazali dan Puan Rohani sangat mesra. Shaheen dilayan seperti anak sendiri. Begitu juga dengan adik-beradik Afzan. Hubungan mereka juga semakin erat.

Sempat juga Shaheen dibawa berjalan-jalan di Bandar Arau. Pusing-pusing seluruh Perlis. Paling tidak dapat Shaheen lupakan bila dia serta keluarga Afzan pergi berkelah di Bukit Ayer. Hutan Lipur Bukit Ayer ni tempat mandi-manda sebab ada air terjun, boleh berkelah juga terdapat aktiviti riadah di situ. Masuk pun percuma je.
Berat hatinya ingin meninggalkan Afzan sekeluarga. Suasana kekeluargaan yang dikecapinya selama berada di dalam keluarga Afzan sangat indah.
“Ijan esok aku nak balik umah la,” kata Shaheen.
“Eh kenapa nak balik ni? Cuti sem kan lama lagi. Lepak la lama sikit,” cadang Afzan bersungguh.
Shaheen diam. Dia tidak mahu menyusahkan Encik Ghazali dan Puan Rohani. Shaheen masih ingat tazkirah yang dihadirinya. Tazkirah yang mengupas isu adap melalayan tetamu.
‘Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah memuliakan tetamu dengan member layanan kepadanya.”  Sahabat bertanya, “Apakah layanan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Layanan istimewa selama sehari semalam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa 3 hari. Layanan yang diberikan selepas tempoh itu dikira sebagai sedekah.” Muttafaqun ‘Alaihi.'

2 comments:

  1. kak sha cerita nie makin menarik la...=))

    ReplyDelete
  2. :)masih ada byk yg perlu dibaiki ni zamr..tq zamr..komen2 zamr akn jadi pembakar semangat tuk sha teruskan berkarya..insyaAllah sha akn cuba berikan yang terbaik untuk hasilkan cerita yang lebih baik

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim