"Jika ada sesiapa yang pinta CINTAmu, katakanlah ianya hanya pada Allah,
Jika ada sesiapa yang pinta KASIHmu, katakanlah ianya hanya pada Rasulullah,
Jika ada sesiapa yang pinta RINDU dan SAYANGmu, katakanlah ianya hanya pada ibu dan ayah,
...dan...
Jika ada sesiapa yang pinta untuk di HATImu, maka berilah ia kepada kepada orang yang benar-benar menghargainya"

Wednesday, February 25, 2009

HOW TO MOTIVATE YOURSELF TO BE ACTIVE?

•Set activity goal.
•Choose the best time and the most convenient time for you to exercise.
•Choose activities that you enjoy doing.
•Keep sport shoes and sport wears in a place that you spend a lot of time.
•Stick reminders in key places (refrigerator, computer) to remind you to do activity or ask a friend to send email or phone reminders.

RECOMMENDATION: 5 times/week, 30 minutes for each session. Start increasing your activity level gradually & exercise regularly.

(This article is for me too!)

Monday, February 23, 2009

Anugerah Cinta

Sekiranya kamu dapati dirimu menyintai seseorang yang tidak membalas cintamu, janganlah merasa tersisih. Tiada salahnya menyintai seseorang kerana cinta tidak memilih untuk singgah di hati seseorang.

Sekiranya kamu dicintai oleh seseorang yang tidak kamu cintai, anggaplah ia satu penghormatan buat dirimu tetapi kembalikan penghormatan itu dengan cara yang ikhlas dan jujur. Jangan ambil kesempatan dan janganlah melukakan.

Bagaimana kamu mengurus cinta begitulah kamu mengurus dirimu dan setiap hati dan perasaan mengalami kepedihan dan kebahagiaan yang serupa sekalipun cara kita mengendalikannya berbeza.

Sekiranya kita bercinta dengan seseorang yang begitu menyintai diri kita dan tiba-tiba cinta memilih untuk pergi, tiada siapa yang harus dipersalahkan, relakanlah cinta itu pergi. Kerana setiap yang berlaku ada maksud yang tersembunyi.. Dan kita akan menyedarinya apabila masa silih berganti.

Ingatlah bahawa jangan terlalu memilih cinta. Kerana cinta itu sendiri akan memilih untuk singgah di hati sesiapa apabila ia datang mengetuk pintu hati mu. Terimalah kehadiran cinta itu dgn segala misteri di dalamnya. Nikmatinya sebagaimana ia membuat hidupmu bahagia dan bebaskan ia.

Cinta sentiasa dan selamanya akan menjadi misteri. Bersyukurlah kerana ianya pernah singgah di hati kamu...

Semoga semua dapat bertemu dgn cinta yg sejati dan jujur. Insya Allah...

Temukan Cinta Kita

Bila kita tidak mencintai pekerjaan kita, maka cintailah orang-orang yang bekerja di sana. Rasakan kegembiraan dari pertemuan itu. Dan, pekerjaan pun jadi menggembirakan. Bila kita tidak boleh mencintai rakan-rakan kita, maka cintailah suasana di pejabat kita. Ini mendorong kita untuk lebih bersemangat ke tempat kerja dan melakukan tugas-tugas dengan lebih baik lagi. Jika kita tidak boleh lakukan juga, cintai setiap pengalaman pulang dan pergi dari/ke tempat kerja. Perjalanan yang menyenangkan menjadikan tujuan tampak menyenangkan juga. Namun, bila kita tidak menemukan kesenangan di sana, maka cintai apa pun yang boleh kita cintai dari kerja kita : tanaman penghias meja, bentuk jam di dinding pejabat yang bentuknya unik, atau mungkin gumpalan awan dari balik jendela pejabat kita.

Apa saja! Bila kita masih tidak menemukan yang boleh kita cintai dari pekerjaan kita, maka mengapa kita ada di situ? Tak ada alasan bagi kita untuk tetap bertahan. Cepat pergi dan carilah apa yang kita cintai, lalu bekerjalah di sana. Hidup hanya sekali. Tak ada yang lebih indah selain melakukan dengan rasa cinta yang tulus.

Menulis Di Atas Pasir

Kisah tentang 2 orang sahabat karib yang sedang berjalan melintasi gurun pasir. Di tengah perjalanan, mereka bertengkar dan salah seorang tanpa dapat menahan diri menampar temannya. Orang yang kena tampar, merasa sakit hati, tapi tanpa berkata-kata, dia menulis di atas pasir :

"Hari Ini, Sahabat Terbaik Ku Menampar Pipiku"

Mereka terus berjalan, sampai bertemu sebuah oasis, lalu mereka memutuskan untuk mandi. Namun, ternyata oasis tersebut cukup dalam sehingga salah seorangnya nyaris tenggelam, dan diselamatkanlah oleh sahabatnya.

Ketika dia mulai siuman dan rasa takutnya sudah hilang, dia menulis di sebuah batu :

"Hari Ini, Sahabat Terbaik Ku Menyelamatkan Nyawaku"

Si sahabat yang pernah menampar sahabatnya bertanya, "Kenapa setelah saya melukai hatimu, kamu menulisnya di atas pasir, dan sekarang kamu menulis di batu?"

Temannya sambil tersenyum menjawab, "Ketika seorang sahabat melukai kita, kita harus menulisnya di atas pasir agar angin maaf datang berhembus dan menghapuskan tulisan tersebut. Dan bila antara sahabat terjadi sesuatu kebajikan sekecil mana pun, kita harus memahatkannya di atas batu hati kita, agar tetap dikenang tidak hilang tertiup waktu".

Dalam hidup ini sering timbul perbezaan pendapat dan konflik kerana sudut pandangan yang berbeza. Oleh kerananya cubalah untuk saling memaafkan dan lupakan masalah lalu.

Marilah kita belajar menulis di atas pasir.

Sunday, February 22, 2009

Kedamaian Hati Adalah Kedamaian Sejati

Seorang raja mengadakan sayembara dan akan memberi hadiah yang melimpah kepada sesiapa sahaja yang mampu melukis tentang kedamaian. Ada banyak seniman dan pelukis berusaha keras untuk memenangi pertandingan tersebut.

Sang raja berkeliling melihat-lihat hasil karya mereka. Hanya ada dua buah lukisan yang benar-benar disukainya. Tapi sang raja harus memilih satu di antara kedua-duanya.

Lukisan pertama menggambarkan sebuah telaga yang tenang. Permukaan telaga bagaikan cermin sempurna yang memantulkan kedamaian gunung ganang yang tenang menjulang di sekitarnya. Di atasnya terpampang langit biru dengan awan putih berarak-arak. Semua yang memandang lukisan tersebut akan berpendapat bahawa itulah lukisan terbaik mengenai kedamaian.

Lukisan kedua juga menggambarkan tentang kawasan pergunungan. Namun tampak kasar dan gondol. Di atasnya terlukis langit yang gelap dan merah menandakan turunnya hujan badai dan petir sabung menyabung. Di sisi gunung ada air terjun deras yang berbuih-buih, sama sekali tidak menampakkan ketenangan dan kedamaian.

Tapi ada sesuatu yang menarik perhatian raja. Di balik air terjun itu tumbuh semak-semak kecil di atas sela-sela batu. Di dalam semak-semak itu seekor ibu pipit meletakkan sarangnya. Jadi, di tengah-tengah riuh-rendahnya air terjun, seekor ibu pipit sedang mengerami telurnya dengan damai. Benar-benar damai.

Kalau saudara pembaca, lukisan manakah yang rasa-rasanya memenangi pertandingan itu? Bagi Sang Raja, baginda memilih lukisan kedua. Tahukah anda mengapa? Kerana jawab Sang Raja, “Kedamaian bukan bererti anda harus berada di tempat yang tanpa kekacauan, kesukaran atau pekerjaan yang teruk atau sibuk. Kedamaian adalah hati yang tenang dan damai, meskipun anda berada di tengah huru-hara luar biasa."

Moral: Kedamaian hati adalah kedamaian sejati.

Tips Bekerja Sambil Belajar

1. Rancang kerja anda sebaiknya. Periksa dan catat tarikh akhir (deadline) bagi tugasan pejabat serta pengajian lebih awal dan letakkan ia di tempat yang dapat dilihat.

2. Gunakan masa dengan sebaiknya. Anda mungkin boleh membaca atau mendengar semula rakaman kuliah ketika menaiki tren daripada hanya melihat gelagat penumpang lain ketika menunggu untuk tiba ke destinasi.

3. Pastikan semuanya dilakukan secara seimbang. Bekerja sambil belajar sememangnya memenatkan. Makan dengan teratur, bersenam, dapatkan rehat secukupnya dan jika berpeluang, teruskan aktiviti sosial anda.

4. Jika anda mempunyai masalah untuk menepati tarikh akhir atau tiba-tiba terjadi masalah keluarga dan kerja, beritahu kepada pensyarah anda lebih awal. Mereka juga manusia dan tentu mereka memahami beban anda untuk melakukan dua perkara ini serentak.

5. Sentiasa ingatkan diri anda apa kebaikan pengajian yang anda ikuti itu untuk masa depan anda. Dapatkan sebab yang kukuh untuk mengikuti kursus yang anda pilih. Jika alasan atau sebab anda menyambung pengajian itu lemah, ia mampu mengganggu motivasi anda untuk menghadapinya.

6. Beritahu ketua atau majikan anda mengenai pengajian anda. Menyambung pengajian menunjukkan anda serius mengenai pembangunan diri sebagai seorang individu.

7. Ada ramai penuntut dewasa yang mengikuti pengajian separuh masa. Anda seharusnya melihat ini sebagai peluang untuk mengembangkan jaringan kenalan.

8. Wujudkan tempat bekerja yang dapat membuatkan anda berasa selesa. Gunakan apa-apa kaedah yang membantu anda untuk fokus, contohnya jadual, kata-kata semangat yang ditampal di dinding, tulisan dengan pen berwarna-warni, peta minda atau bungaan di meja kerja anda.

9. Cari tempoh waktu terbaik untuk anda belajar atau mengulangkaji. Segelintir individu lebih gemar memilih waktu awal pagi.

"Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China"

Belajar Ubati Kekecewaan

Berasa kecewa atau kesal adalah normal, boleh dikatakan ‘tidak normal’ jika tidak pernah berasa kecewa sepanjang hidup! Bagaimanapun, jangan biar ia menguasai diri hingga mendorong kita bertindak luar dugaan dan mengalami tekanan yang boleh merosakkan diri dan kerjaya.

Tidak semestinya rasa kecewa itu akan berterusan kerana jika kita yakin dan terus bersemangat pasti ada harapan pada masa depan. Berikut beberapa panduan untuk membuang rasa kecewa:

Terima kenyataan.
Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Sebagai manusia, kita tidak boleh menentukan kehidupan kerana segalanya bergantung kepada takdir dan ketentuan Ilahi. Apa yang boleh kita lakukan ialah berusaha mengubah nasib kita.

Ada ketikanya kita bernasib baik, tetapi ada masanya kita juga diuji pelbagai dugaan. Rasa kecewa itu antara ujian dan dugaan yang diberi kepada kita. Hadapinya dengan tenang dan reda kerana selain memiliki hikmah tertentu, ia pasti mengajar kita supaya lebih berhati-hati dan menjadikan kita insaf.

Berfikir
Senaraikan pro dan kontra apabila anda membuat sesuatu keputusan supaya anda tidak berasa terlalu kecewa apabila berlaku perkara yang tidak dijangkakan.

Biarkan ia berlalu dan lama-kelamaan anda akan dapat mengatasinya sendiri.

Berfikiran positif
Cuba kenang kembali peristiwa kerana kebahagian yang anda miliki hari ini mungkin disebabkan pengalaman silam anda. Memang sukar untuk berfikiran positif apabila berdepan dengan sesuatu tragedi.

Jangan terlalu mengikut perasaan, sebaliknya tumpukan kepada perkara positif yang pernah anda lakukan dalam hidup. Ia pasti banyak membantu apabila anda berdepan rasa kecewa.

Luahkannya
Bahaya jika memendamkan rasa kecewa kerana ia boleh memakan diri. Kesannya anda boleh mendapat kemurungan dan tekanan (stress).

Apa yang penting, anda perlu berkongsi rasa itu dengan menceritakannya kepada orang yang lebih rapat dengan anda. Bagi remaja, ibu bapa adalah individu paling sesuai. Jika anda mengadu, sedikit-sebanyak perasaan kecewa itu akan reda dengan pujukan, nasihat dan semangat yang anda peroleh daripada mereka.

Beri tumpuan pada hidup
Teruslah berusaha untuk mencapai matlamat diinginkan. Apabila anda mempunyai fokus, segala cabaran dan rintangan boleh dihadapi dengan mudah. Apa yang penting, jangan biarkan perkara remeh menghantui anda sehingga membuatkan anda kecewa.

Tips Menghadapi Kesedihan

Bersedih selepas kehilangan seseorang atau sesuatu yang disayangi adalah perkara biasa. Beri masa kepada diri sendiri, dan dapatkan sokongan yang diperlukan.

Langkah-langkah:
1. Mengadu kepada kawan-kawan dan keluarga. Mereka mungkin tidak memahami apa yang anda sedang lalui, tetapi mereka boleh menawarkan bantuan. Dapatkan sokongan tambahan daripada orang-orang yang berpengalaman dalam menangani kesedihan.

2. Jaga kesihatan anda. Kemungkinan ini merupakan satu perkara terakhir yang anda ingin lakukan, tetapi ia boleh membantu anda menghadapi dan mengatasi kesedihan dengan lebih mudah.

3. Buat temu janji dengan seorang kaunselor atau menyertai satu kumpulan sokongan menerusi e-mel.

4. Berbincang dengan doktor anda mengenai anti-depresi sekiranya anda susah hendak bertindak balas.

Petua-petua:
1. Kreatif. Ramai orang mendapati mewarna, melukis dan aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan dengan penuh perasaan boleh menenangkan fikiran.

2. Baca mengenai peringkat-peringkat dan kesan-kesan kesedihan supaya anda menjadi lebih biasa dengan pengalaman anda sendiri.

3. Perhatikan, bahawa sesetengah orang tidak menunjukkan perasaannya sehinggalah ke suatu waktu yang lama setelah peristiwa kehilangan tersebut.

Amaran-amaran:
1. Jauhi minuman keras dan dadah. Menyembunyikan emosi boleh membuatkan anda tidak produktif.

2. Elakkan daripada membuat keputusan yang besar dan penting ketika anda dalam keadaan bersedih.

9 Langkah Asas Dalam Menghadapi Masalah

(Untuk ingatan kepada Sha juga)

1. Latih diri untuk bersangka baik dan tumpu pada nilai-nilai positif. Kikis segala pemikiran yang tidak elok dan yang tak baik pasal orang lain, perkara, benda dan situasi.

2. Kawal perasaan dan emosi. Jangan biarkan perasaan mengawal pemikiran kita.

3. Kosongkan kotak pemikiran daripada perasaan-perasaan sedih, bermuram durja dan apa jua perasaan negatif.

4. Perbaharui pemikiran kita dengan pemikiran yang lebih rasional dan kreatif.

5. Berbuat baik kepada sesiapa saja. Dengan menolong orang dan membuat jasa boleh mendatangkan ketenangan, ketenteraman.

6. Cuba dengar masalah orang lain dan cuba memberi nasihat, atau fikir cara terbaik untuk menceriakan dirinya. Secara tidak langsung,melatih kita menjadi lebih matang dalam menghadapi pelbagai permasalahan hidup.

7. Buang perasaan negatif (takut, gugup, tak yakin, sangsi, ragu dan rendah diri) sekarang juga!

8. Kita bermasalah sebab kita jauh dari Tuhan. Masalah diberi supaya kita dekatkan diri semula denganNya, kena banyak istighfar dan jaga sembahyang bagi yang beragama Islam.

9. Ingat, sesusah-susah kita, ada lagi orang yang lebih susah. Kita mesti bersyukur kerana kita masih ada pilihan dan alternatif lain untuk menyelesaikan masalah satu persatu.

Kopi Itu Pahit

Kopi itu pahit jika berdiri sendiri, tapi kopi menjadi enak apabila digandingkan dengan gula dan susu.

Anda cantik, maka anda boleh berdiri sendiri tapi tanpa keperibadian dan iman yang padu anda ibarat kopi tanpa gandingan gula dan susu. Selama mana boleh bertahan??

Sebaik-baik kopi pahit dinilai dari sudut kepahitanya, tapi apabila ada kopi bersusu dan bergula, ia sentiasa lebih disukai dan akan terus disukai.

Petikan Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

Hargai Anugerah Cinta

Jangan pernah mengucapkan selamat tinggal jika anda masih ingin mencuba. Jangan menyerah selagi anda berasa masih ada harapan. Jangan pernah berkata anda tidak mencintainya lagi walhal tidak sanggup membiarkan dia pergi.

Cinta datang kepada mereka yang masih mempunyai harapan walaupun sering dikecewakan. Cinta hadir kepada mereka yang masih mempercayai, walaupun kerap dikhianati. Cinta juga menghampiri mereka yang masih ingin mencintai, walaupun berulang kali disakiti dan kepada mereka yang mempunyai keberanian serta keyakinan untuk membina kembali kepercayaan. Janganlah mudah berputus asa.

Mungkin Allah menemukan kita dengan seseorang yang tidak sepadan sebelum kita ditemukan dengan orang yang sehati sejiwa. Justeru, apabila kita bertemu dengan orang yang tepat, kita akan mengetahui betapa berharganya anugerah itu.

Belajar Mencintai Seseorang Yang Tidak Sempurna Dengan Cara Yang Sempurna

Ketika kita bertemu orang yang tepat untuk dicintai, ketika kita berada di tempat dan pada saat yang tepat, itulah kesempatan.

Ketika kita bertemu dengan seseorang yang membuat kita tertarik, itu bukan pilihan, itulah kesempatan.

Bertemu dalam suatu peristiwa bukanlah pilihan, itupun adalah kesempatan.

Bila kita memutuskan untuk mencintai orang tersebut, malah dengan segala kekurangannya, itu bukan kesempatan, itu adalah pilihan.

Ketika kita memilih bersama dengan seseorang walau apapun yang terjadi, itu adalah pilihan.

Malah ketika kita menyedari bahawa masih ramai orang lain yang lebih menarik, lebih pandai, lebih kaya daripada pasanganmu dan kita tetap memilih untuk mencintainya, itulah pilihan.

Perasaan cinta, simpati, tertarik, datang bagai kesempatan pada kita. Tetapi cinta sejati yang abadi adalah pilihan. Pilihan yang kita lakukan.

Pasangan jiwa benar-benar ada. Untuk melakukan pilihan apakah kita ingin melakukan sesuatu untuk mendapatkannya, atau tidak… Kita mungkin kebetulan bertemu pasangan jiwa kita tetapi mencintai dan tetap bersama pasangan jiwa kita adalah pilihan yang harus kita lakukan.

Kita ada di dunia bukan untuk mencari seseorang yang sempurna untuk dicintai tetapi untuk belajar mencintai orang yang tidak sempurna dengan cara yang sempurna.

Dicintai Lebih Baik Daripada Mencintai

Pengalaman lalu...
Sering kali ditemukan dengan orang yang bukan untuk kita...kecewa berulang kali.

(Berdoa)
Ditemukan dengan orang yang mencintai kita, adalah anugerah dari Allah untuk mengubat kekecewaan cinta yang sudah kita alami sebelum ini. Walaupun kita tidak mencintainya setakat ini, mungkin kebahagiaan kita begitu disuratkan Allah.

Pesanan (kepada diri sendiri)
Pesanan orang tua-tua “lebih baik berkahwin dengan orang yang mencintai kita,” walaupun kita belum mencintainya lagi, pasti kita akan dijaga dan dilayan dengan baik daripada berkahwin dengan orang yang kita cintai tapi dia tidak mencintai kita, kita akan mati terkorban.

Oleh itu senyumlah kerana ada orang yang sudah mencintai kita, jangan kecewakan dia, jika niatnya ikhlas sambutlah cintanya. Bergembiralah kerana kegembiraan adalah satu daripada nikmat terbesar dari Allah.

Kekuatan Api Cinta

Suatu ketika dahulu, Kapak, Gergaji, Palu, dan Nyala Api sedang mengadakan suatu perjalanan bersama-sama. Di suatu tempat, perjalanan mereka terhenti kerana terdapat sepotong besi waja yang menghalang jalan. Mereka berusaha menyingkirkan besi waja tersebut dengan kekuatan yang mereka miliki masing-masing.

“Itu dapat aku singkirkan,” kata Kapak. Pukulan-pukulannya keras sekali menghentam besi yang kuat dan keras itu. Tapi setiap hentaman hanya membuat kapak itu lebih tumpul sampai ia terpaksa berhenti.

“Sini, biar aku yang urus,” kata Gergaji. Dengan gigi-gigi yang tajam tanpa perasaan, iapun mulai menggergaji. Tapi terkejut dan kecewa ia, semua giginya jadi tumpul dan jatuh.

“Lihat, aku sudah cakap,” kata Palu, “Kan aku sudah cakap anda semua tak dapat lakukan. Sini, sini aku tunjukkan caranya.” Tapi baru sekali ia memukul, kepalanya terpantul sendiri, dan besi tetap tak berubah.

“Boleh aku cuba?” tanya Nyala Api. Dan iapun melingkarkan diri, dengan lembut menggeluti, membelai, memeluk, dan mendakap besi itu erat-eratnya seperti tak mahu melepaskannya lagi. Besi yang keras itupun meleleh cair.

Renungan :Ada banyak hati yang cukup keras untuk melawan kemurkaan dan amukan kemarahan demi harga tinggi. Tapi jarang ada hati yang tahan melawan nyala api cinta kasih yang hangat. Betapa kebijaksanaan ada dalam sebuah kelembutan dan kehangatan, seperti api mencairkan besi waja.

Tips Menyayangi Diri Sendiri

Menyayangi diri bermakna kita memikirkan keadaan diri kita, menjaga kesihatan, memikirkan masa depan, bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dan menjauhi diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan diri kita sekarang dan masa depan.

6 kunci asas untuk menyayangi diri sendiri (yakin terhadap diri sendiri):

1. Belas kasihan - Belas kasihan adalah umpama ubat penyembuh yang bertindak terus di kawasan luka. Dengarlah suara hati anda yang sentiasa menjaga, menyembuhkan, dan bersedia untuk menggembirakan anda. Ia wujud dalam hati kita, cuma kita yang perlu dengar kepadanya.

2. Penerimaan - Tiada manusia yang sempurna, termasuklah diri kita. Tidak kira mana-mana bahagian tubuh yang ingin kita ubah, penting untuk kita menilai siapa diri kita sekarang - ciptaan yang bergerak, berubah dan berkembang dengan ciri-ciri dan kelebihan/ kekurangan yang tertentu.

3. Hormat - Dalam perwatakan tradisi, ini tidak susah atau banyak permintaan. Dalam dunia pendidikan yang mencabar pula, persaingan boleh menjadikan seseorang itu merasa rendah diri.

Ingatkah masa apabila seseorang pernah menunjukkan rasa hormat ketika anda merasa rendah diri?

Ingatkah bagaimana rasa hormat itu menceriakan anda bila anda menerima komen itu sebagai benar?

Tiba masanya untuk anda memberikan rasa hormat pada diri anda sendiri.

4. Galakan - Kita semua memerlukan galakan untuk mencapai matlamat dan perlu yakin untuk mencapainya. Berusaha untuk mencapai dan belajar daripada mereka yang sering memberikan galakan kepada orang-orang lain. Jangan lupa kepada halangan-halangan realistik yang wujud dan sifat-sifat diri yang kental.

5. Sokongan - Pernahkah anda merasa tidak mahu bangun daripada tidur dan seolah-olah ingin menyorokkan diri daripada dunia sekitar? (Sha pernah...) Pada ketika seperti itu barangkali kita inginkan seseorang untuk mendorong serta meniupkan semangat untuk meneruskan hidup. Kita mampu mendorong serta menyayangi diri kita sendiri dengan sedemikian cara, asalkan kita sedar mengenainya.

6. Belaian - Pernahkah anda membelai seekor kucing dan lihat bagaimana kucing itu merasa seronok dengan perbuatan anda itu? Pernahkah anda dibelai sedemikian rupa? Kita mampu membelai diri kita sendiri kerana kita berhak membelai diri kita.

Kita berhak menyayangi diri sendiri.

Tips Untuk Kekal Bercinta - 5

21. Gunakan ganti nama yang mesra anda & diri sendiri. Panggil dia dengan nama yang lain daripada yang orang gunakan. ini memberi keistimewaan kepadanya.

22. Pasangan anda juga mempunyai rakan-rakan. Oleh itu, saling mempercayai dalam hubungan adalah penting dan jangan terlalu mengongkong dalam kehidupan sosialnya.

23. Ajaklah pasangan anda melakukan aktiviti rekreasi bersama-sama, seperti berkelah, bermain bowling, jogging dan sebagainya. Aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan anda.

24. Dekati hobi pasangan anda , dan cuba melibatkan diri dengan hobi tersebut. Ini akan mengeratkan hubungan anda kerana anda mempunyai aktiviti yang dapat dilakukan bersama.

Tips Untuk Kekal Bercinta - 4

16. Elakkan membanding pasangan anda dengan orang lain, seolah-olah anda lebih mementingkan orang lain.

17. Semua orang mempunyai ego. Hormati ego pasangan anda di hadapan orang ramai. Jika dia sedang marah, lebih baik berdiam diri.

18. Gunakan daya pujukan semasa menangani yang sedang merajuk. Tetapi ingat! Jangan menabur janji.

19. Setiap masalah harus diselesaikan, bukannya ditinggalkan dengan alasan (lupakan saja). Suatu hari nanti, masalah itu akan berbangkit dan membawa masalah baru yang lain.

20. Biarkan semua kenangan pahit itu berlalu kerana di sebalik itu pasti tersembunyi hikmahnya. Bersyukur atas ujian ini menjadikan kita lebih tabah dalam kehidupan.

Tips Untuk Kekal Bercinta - 3

11. Apabila melakukan kesalahan, jangan malu untuk mengakuinya. Ringan mulut untuk mengucapkan perkataan maaf. Tunjukkan keikhlasan dan jangan mengulanginya.

12. Cari waktu yang sesuai untuk membincangkan masalah. Persekitaran atau iklim komunikasi yang baik, dapat mempengaruhi perbincangan dan kaedah penyelesaian masalah.

13. Ketika membincangkan sesuatu masalah, elakkan bahasa tersurat. Lebih baik berterus-terang supaya pasangan faham perkara yang hendak disampaikan.

14. Jangan terlalu menunjukkan anda sangat baik & sempurna. Lebih baik bersikap merendah diri.

15. Ketika membincangkan sesuatu masalah, tumpukan kepada masalah, persoalan dan jalan penyelesaian, bukannya dengan menyalahkan atau menunding jari kepada sesiapa.

Tips Untuk Kekal Bercinta - 2

6. Pada pertemuan pertama, elakkan perbualan tentang masalah, kesibukan kerja dan sebagainya. Si dia tidak datang untuk berasa sedih, maka gembirakanlah si dia.

7. Jangan kedekut dengan kata pujian, berikan pujian seikhlas hati anda tapi jangan sampai berlebih-lebih. anda boleh memuji warna bajunya, rambut, kasut dan sebagainya.

8. Tunjukkan anda mengambil berat terhadap pasangan anda, tolong dalam perkara - perkara kecil seperti mengangkat beg, membuka pintu. Ini menunjukkan yang anda prihatin.

9. Jangan bersikap sombong, sebaliknya cuba masukkan unsur humor. Ini memberi tanda anda boleh didekati dan bersikap terbuka untuk menerima hubungan baru.

10. Jika pasangan anda melakukan kesalahan, beri dia peluang untuk memberi keterangan. Mungkin dia ada alasan KUKUH atas perbuatannya, jangan sampai anda yang malu sendiri.

Tips Untuk Kekal Bercinta - 1

1. Jaga penampilan diri, kerana semua orang suka dengan kekemasan & kecantikan, persepsi pertama adalah sangat penting.

2. Ikhlas dalam memulakan perhubungan, jadi diri anda sendiri, bukannya berlakon dan berlagak seperti orang lain.

3. Ketika berinteraksi dengan si dia, jangan lupa menggunakan bahasa tubuh seperti gerakan tangan, renungan mata dan tunjukkan minat ketika si dia sedang bercakap.

4. Sentiasa berfikiran positif, datang untuk bertemu si dia dengan penilaian yang kosong dan tidak curiga, dengan berfikiran positif anda lebih mudah menerima seseorang.

5. Elakkan mengguna perkataan berunsur negatif seperti (Saya Tidak Suka ...). Lebih baik bercerita tentang kesukaan masing - masing. Gunakan ayat positif (Saya Suka ...).

Cinta Sejati Langit Dan Laut

Dahulukala, langit dan laut saling jatuh cinta. Mereka saling menyukai di antara satu sama lain. Oleh sebab sangat sukanya laut terhadap langit, warna laut sama dengan warna langit. Oleh sebab sangat sukanya langit terhadap laut, warna langit sama dengan warna laut.

Setiap senja datang, si laut dengan lembut sekali membisikkan kata-kata ‘Aku Cinta Padamu’ ke telinga langit. Setiap kali langit mendengar bisikan penuh cinta laut terhadapnya, langit tidak menjawab apa-apa , hanya tersipu-sipu malu dengan wajah kemerah-merahan.

Suatu hari, datanglah awan. Melihat kecantikan si langit, awan terus jatuh hati terhadap langit, bak cinta pandang pertama. Tetapi tentu sahaja langit hanya setia mencintai laut. Setiap hari, langit hanya mahu melihat laut sahaja. Awan berasa sedih tetapi ia tidak berputus asa mencari cara dan akhirnya mendapat satu akal. Awan mengembangkan dirinya seluas dan sebesar mungkin serta menyusup ke tengah-tengah di antara langit dan laut. Ia berusaha menghalangi pandangan langit dan laut terhadap satu sama lain.

Laut berasa marah kerana tidak dapat melihat langit. Laut mengeluarkan gelombangnya bagi mengusir awan yang mengganggu pandangannya. Tetapi tentu sekali usahanya tidak berhasil. Lalu datanglah angin yang sejak dulu mengetahui hubungan cinta langit dan laut. Angin berasakan perlu membantu langit dan laut menyingkirkan awan yang mengganggu perhubungan mereka yang sekian lama terjalin.

Dengan tiupan keras dan kuat, angin meniup awan. Lantas terpecah-pecahlah awan menjadi berselerak ke banyak bahagian, sehingga ia tidak berupaya lagi melihat langit dengan jelas dan tidak mampu lagi untuk mengungkapkan perasaannya terhadap langit. Kerana rasa terseksa menanggung perasaan cinta yang menggunung tinggi terhadap langit, awan menangis sedih.

Hingga sekarang, kasih antara langit dan laut tidak dapat dipisahkan. Kita juga dapat melihat di mana mereka menjalin kasih. Setiap kali memandang ke hujung laut, di mana ada garisan horizon yang menemukan langit dan laut, di situlah mereka sedang berpacaran.

Tuesday, February 17, 2009

Membeli Cinta

Di sebuah daerah tinggal seorang saudagar kaya raya. Dia mempunyai seorang hamba sahaya yang sangat bebal - begitu dungu, hingga orang-orang menyebutnya si bodoh.

Suatu hari sang tuan menyuruh si bodoh pergi ke sebuah perkampungan miskin untuk menagih hutang para penduduk di sana.”Hutang mereka sudah cukup tempoh,” kata sang tuan. “Baik, Tuan,” sahut si bodoh. “Tetapi nanti wangnya mahu dibeli apa?” “Belikan sesuatu yang belum aku punyai,” jawab sang tuan.

Maka pergilah si bodoh ke perkampungan yang dimaksudkan. Cukup penat juga si bodoh menjalankan tugasnya; mengumpulkan sedikit demi sedikit wang hutang dari para penduduk kampung. Para penduduk itu memang sangat miskin, dan ketika itu pula tengah terjadinya kemarau panjang.

Akhirnya si bodoh berjaya juga menyelesaikan tugasnya. Dalam perjalanan pulang ia teringat pesan tuannya, “Belikan sesuatu yang belum aku miliki.”

“Apa, ya?” tanya si bodoh dalam hati. “Tuanku sangat kaya, apa lagi yang belum dia punyai?” Setelah berfikir agak lama, si bodoh pun menemukan jawapannya. Dia kembali ke perkampungan miskin tadi. Lalu dia bagikan lagi wang yang sudah dikumpulkannya tadi kepada para penduduk. “Tuanku, memberikan wang ini kepada kalian,” katanya.

Para penduduk sangat gembira. Mereka memuji kemurahan hati sang tuan. Ketika si bodoh pulang dan melaporkan apa yang telah dilakukannya, sang tuan geleng-geleng kepala. “Benar-benar bodoh,” keluhnya.

Waktu berlalu. Terjadilah hal yang tidak disangka-sangka; perubahan pemimpin kerana pemberontakan membuat usaha sang tuan tidak semulus dulu. Belum lagi bencana banjir yang menghabiskan semua harta bendanya. Pendek kata sang tuan jatuh miskin dan melarat. Dia terpaksa meninggalkan rumahnya. Hanya si bodoh yang ikut serta. Ketika tiba di sebuah kampung, entah mengapa para penduduknya menyambut mereka dengan riang dan hangat; mereka menyediakan tumpangan dan makanan buat sang tuan.

“Siapakah para penduduk kampung itu, dan mengapa mereka sampai mahu berbaik hati menolongku?” tanya sang tuan.

“Dulu tuan pernah menyuruh saya menagih hutang kepada para penduduk miskin kampung ini,” jawab si bodoh. “Tuan berpesan agar wang yang terkumpul saya belikan sesuatu yang belum tuan punyai. Ketika itu saya berfikir, tuan sudah memiliki segalanya. Satu-satunya hal yang belum tuan punyai adalah cinta di hati mereka. Maka saya membahagikan wang itu kepada mereka atas nama tuan. Sekarang tuan menuai cinta mereka.”

Semoga orang-orang yang punya kekayaan dan pengaruh dapat belajar dari kisah tadi bahawa kekayaan dan pengaruh baru akan sangat berguna kalau dipergunakan untuk menebar cinta kasih.

“Nama baik lebih berharga dari pada kekayaan besar, dan dikasihi orang lebih baik dari pada perak dan emas.”

Sifat Kita, Sifat Jengking

Semasa berjalan-jalan di pinggir taman, seorang lelaki tua ternampak seekor kala jengking yang tergapai-gapai di dalam lopak. Jengking hitam sebesar ibu jari kaki itu berkali-kali cuba memanjat tebing, tapi setiap kali mencuba, ia jatuh semula ke dalam air.

Lelaki tua itu berasa simpati. Dicapainya jengking hitam itu, tapi belum sempat menyelamatkannya, haiwan itu menyengat jari lelaki tua itu. Sakitnya bukan kepalang. Ironinya, tiap kali disengat, orang tua itu tetap juga mencuba untuk mengangkat jengking hitam itu keluar dari lopak.

“Mengapa pakcik masih lagi nak menyelamatkan kala jengking ini? Dah berkali-kali pakcik disengatnya,tapi pakcik masih lagi nak mencuba. Kenapa?” Tanya seorang pemuda yang sejak tadi memerhatikan lelaki tua tersebut.

Orang tua itu menjawab,”Menyengat memang sifat semulajadi seekor kala jengking. Tapi sifat semulajadi manusia ialah menyayangi. Mengapa mesti kita korbankan sifat semulajadi kita itu kepada sifat semualajadi seekor haiwan?”.

Selepas berkata demikian, lelaki tua itu mencuba lagi mengeluarkan jengking hitam itu sehingga berjaya. Lelaki tua itu tersenyum puas biarpun bisa sengatan telah pun menular ke seluruh tubuhnya…

Bersama-samalah kita menghayati erti sebenar sifat semulajadi kita yang bernama manusia.. (pesanan untuk diri Sha juga. Ada masanya Sha terlupa.)

Nilai Kasih Ibu

Ini adalah mengenai nilai kasih ibu…

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu.

Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.

Kos upah membantu ibu:

Tolong pergi kedai $4.00

Tolong jaga adik $4.00

Tolong buang sampah $1.00

Tolong kemas bilik $2.00

Tolong siram bunga $3.00

Tolong sapu sampah $3.00

Jumlah : $17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA

Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA

Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA

Kos kerungsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA

Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu - PERCUMA

Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh si ibu. Si anak menatap wajah ibu, memeluknya dan berkata,”Saya Sayangkan Ibu”.

Kemudian si anak mengambil pen dan menulis ‘Telah Dibayar’ pada mukasurat yang ditulisnya.

Kotak Berisi Kasih

Satu hari ketika seorang ayah membeli beberapa gulung kertas bungkusan hadiah, anak perempuannya yang masih kecil dan manja sekali, meminta satu gulung.

“Untuk apa?” tanya si ayah.

“Nak bungkus hadiah” jawab si kecil.

“Jangan dibuang-buang ya.” pesan si ayah, sambil memberikan satu gulungan kecil.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi si kecil sudah bangun dan membangunkan ayahnya, “Yah, Ayah…….. ada hadiah untuk Ayah.”

Si ayah yang masih menggeliat, matanya pun belum lagi terbuka sepenuhnya menjawab, “Sudahlah…. nanti nanti saja.”

Tetapi si kecil pantang menyerah, “Ayah, Ayah, bangun Ayah, dah pagi.”

“Eh… kenapa ganggu ayah… masih terlalu awal lagi untuk ayah bangun.”

Ayah terpandang sebuah bungkusan yang telah dibalut dengan kertas pembungkus yang diberikan semalam.

“Hadiah apa ni?”

“Hadiah hari jadi untuk Ayah. Bukalah Yah, buka sekarang.”

Dan si ayah pun membuka bungkusan itu.

Ternyata di dalamnya hanya sebuah kotak kosong. Tidak berisi apa pun juga.

“Eh.. kenapa kosong?? Tak ada isi di dalamnya. Kan Ayah dah kata jangan buang-buang kertas bungkusan Ayah. Membazir tu”

Si kecil menjawab, “Tak Ayah….., ada isi tu… Tadi kan, Puteri masukkan banyak sekali ciuman untuk Ayah.”

Si ayah merasa terharu, dia mengangkat anaknya. Dipeluk dan diciumnya.

“Puteri, Ayah belum pernah menerima hadiah seindah ini. Ayah akan selalu menyimpan hadiah ini. Ayah akan bawa ke pejabat dan sekali-sekala kalau perlu ciuman Puteri, Ayah akan mengambil satu. Nanti kalau kosong diisi lagi ya!”

Kotak kosong yang sesaat sebelumnya dianggap tidak berisi, tidak memiliki nilai apa-apa pun, tiba-tiba terisi, tiba-tiba memiliki nilai yang begitu tinggi. Apa yang terjadi?

Lalu, walaupun kotak itu memiliki nilai yang sangat tinggi di mata si ayah, namun di mata orang lain tetap juga tidak memiliki nilai apa pun. Orang lain akan tetap menganggapnya sebuah kotak kosong.

Moral:
Kosong bagi seseorang boleh dianggap penuh oleh orang lain.Sebaliknya, penuh bagi seseorang boleh dianggap kosong oleh orang lain.

KOSONG dan PENUH - kedua-duanya merupakan produk dari “fikiran” anda sendiri. Sebagaimana anda memandangi hidup demikianlah kehidupan anda. Hidup menjadi bererti, bermakna, kerana anda memberikan erti kepadanya,memberikan makna kepadanya.

Bagi mereka yang tidak memberikan makna, tidak memberikan erti, hidup ini ibarat lembaran kertas yang kosong………..

Nilai Sepuluh Ringgit

Seorang bapa pulang ke rumah dalam keadaan letih disambut oleh anak lelakinya yang berusia tujuh tahun di muka pintu.

“Ayah, boleh tak Amin tanya satu soalan?”

“Ya, nak tanya apa?”

“Berapa pendapatan ayah sejam?”

“Itu bukan urusan kamu. Buat apa nak sibuk tanya?”

“Amin saja nak tahu ayah. Tolonglah bagi tahu berapa ayah dapat sejam bekerja di pejabat?”
“20 ringgit sejam.”

“Oh…” kata si anak sambil tunduk menekur lantai. Kemudian memandang wajah ayahnya semula sambil bertanya, “Ayah….boleh tak Amin pinjam sepuluh ringgit daripada ayah?”

Si ayah menjadi berang dan berkata, “Oh, itu ke sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak buat apa sampai mintak sepuluh ringgit? Nak beli barang mainan lagi? Jangan nak membazir. Ayah kerja penat-penat bukan untuk buang duit sebarangan. Sekarang pergi balik ke bilik dan tidur, dah lewat dah ni…”

Kanak-kanak tujuh tahun itu terdiam dan perlahan-lahan melangkah kembali ke biliknya. Si ayah duduk di atas sofa dan mula memikirkan mengapa anaknya yang kecil itu memerlukan duit sebanyak itu. Kira-kira dua jam kemudian si ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolahnya kerana anaknya tidak pernah meminta wang sebanyak itu sebelum ini. Dengan perasaan bersalah si ayah melangkah menuju bilik anaknya dan membuka pintu. Didapati anaknya masih belum tidur. “Kalau kamu betul-betul perlu duit, nah ambillah sepuluh ringgit ini,” kata si ayah.

Kanak-kanak itu segera bangun dan tersenyum girang. “Terima kasih banyak ayah,” katanya begitu gembira. Kemudian dia tercari-cari sesuatu di bawah bantalnya dan mengeluarkan sekeping not sepuluh ringgit yang sudah renyuk.

Bila ternampak duit itu si ayah kembali berang. “Kenapa kamu mintak duit lagi sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu? Dari mana kamu dapat duit di bawah bantal tu?” Jerkah si ayah.

Si anak tunduk tidak berani merenung wajah ayahnya. “Duit ini Amin kumpul dari belanja sekolah yang ayah beri setiap hari. Amin minta lagi 10 ringgit sebab duit yang Amin ada sekarang tak cukup,” jawab si anak perlahan.

“Tak cukup untuk beli apa?” soal balik si ayah.

“Ayah, sekarang Amin sudah ada 20 ringgit. Ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam dari masa ayah. Amin nak makan malam bersama ayah,” jawab si anak tanpa berani memandang wajah ayahnya.

Baru si ayah benar-benar faham maksud anaknya itu….

Moral:
Kadangkala kita terlampau sibuk sehingga mengabaikan insan tersayang yang dahagakan kasih sayang dan perhatian kita. Oleh itu, luangkan sedikit waktu untuk bersama mereka…

Sunday, February 15, 2009

Geng: Pengembaraan Bermula


14 Februari 2009

Sha, adik & kawan-kawan ofis (adik) ke Sunway Pyramid. Menonton wayang.. citer Geng: Pengembaraan Bermula. Ramai orang yang datang menonton cerita ni, terutamanya ibu bapa yang membawa anak-anak masing-masing.

Puas hati. Sepanjang tayangan, mata tertumpu ke layar. Cerita dan animasinya cukup menarik. Banyak babak lucu. Di samping itu terselit juga nilai-nilai kemanusiaan. Ada unsur kasih sayang, kebaikan/kejahatan dibalas kebaikan/kejahatan, persahabatan, dan banyak lagi. Nak tahu lebih lagi kena la tonton. Tidak rugi menonton. Sokong lah industri filem kita. Filem animasi Malaysia juga hebat.

Thursday, February 12, 2009

RUMAH SERIBU CERMIN

Di sebuah desa kecil, ada sebuah rumah yang dikenali dengan nama "Rumah Seribu Cermin." Suatu hari seekor anjing kecil sedang berjalan-jalan di desa itu dan melintasi "Rumah Seribu Cermin". Ia tertarik pada rumah itu dan memutuskan untuk masuk melihat apa yang ada di dalamnya.

Sambil melompat-lompat ceria ia menaiki tangga rumah dan masuk melalui pintu depan. Telinga terangkat tinggi-tinggi, ekornya bergerak-gerak secepat mungkin. Betapa terkejutnya ia ketika masuk ke dalam rumah, ia melihat ada seribu wajah ceria anjing-anjing kecil dengan ekor yang bergerak-gerak cepat. Ia tersenyum lebar, dan seribu wajah anjing kecil itu juga membalas dengan senyum lebar, hangat dan bersahabat. Ketika ia meninggalkan rumah itu, ia berkata pada dirinya sendiri, "Tempat ini sangat menyenangkan. Saya akan kembali mengunjunginya sekerap mungkin."

Sesaat setelah anjing itu pergi, datanglah anjing kecil yang lain. Namun, anjing yang satu ini tidak seceria anjing yang sebelumnya.

Ia juga memasuki rumah itu. Dengan perlahan ia menaiki tangga rumah dan masuk melalui pintu depan. Ketika berada di dalam, ia terkejut melihat ada seribu wajah anjing kecil yang muram dan tidak bersahabat. Segera saja ia menyalak keras-keras, dan dibalas juga dengan seribu gonggongan yang menyeramkan. Ia merasa ketakutan dan keluar dari rumah sambil berkata pada dirinya sendiri, "Tempat ini sungguh menakutkan, saya takkan datang ke sini lagi."

Hidup seolah-olah cermin diri. Jika kita mahu rakan-rakan sekeliling menyukai kita, maka kita perlulah melayan orang lain seperti mana kita mahu orang lain melayan kita.

Kasih Sayang Dua Bersaudara

Dua bersaudara bekerja bersama-sama di ladang milik keluarga mereka. Seorang telah menikah dan memiliki sebuah keluarga besar, yang seorang lagi masih bujang. Ketika hari mulai senja, kedua bersaudara itu membagi sama rata hasil yang mereka peroleh.

Pada suatu hari, saudara yang masih bujang itu berfikir, “Tidak adil jika kami membagi rata semua hasil yang kami peroleh, aku masih bujang dan keperluanku hanya sedikit.” Kerana itu, setiap malam dia mengambil sekarung padi dari simpanan miliknya dan menaruhnya ke dalam simpanan milik saudaranya.

Sementara itu, saudara yang telah menikah itu berfikir dalam hatinya, “Tidak adil jika kami membagi rata semua hasil yang kami peroleh. Aku punya isteri dan anak-anak yang akan merawatku di masa tua nanti, sedangkan saudaraku tidak memiliki sesiapa pun dan tidak seorang pun akan peduli padanya pada masa tuanya.” Kerana itu, setiap malam dia pun mengambil sekarung padi dari simpanan miliknya dan menaruhnya ke dalam simpanan milik saudara satu-satunya itu.

Selama bertahun-tahun kedua bersaudara itu menyimpan rahsia masing-masing, sementara padi mereka sesungguhnya tidak pernah berkurang. Hingga suatu malam keduanya bertemu dan barulah saat itu mereka tahu apa yang telah terjadi. Merekapun berpelukan.

moral of this story: Jangan biarkan persaudaraan rosak kerana harta, oleh itu eratkanlah tali persaudaraan tanpa mengira harta.

Wednesday, February 11, 2009

CINTAILAH CINTA

Memang menyakitkan ketika kita mencintai seseorang, namun dia tidak membalasnya, tetapi yang lebih menyakitkan adalah ketika kita mencintai seseorang dan kita tidak pernah ada keberanian untuk mengungkapkan perasaan kita padanya.

Sebuah hal yang menyedihkan dalam hidup apabila ketika kita bertemu dengan seseorang, yang sangat bererti bagi kita, hanya untuk mengetahui pada akhirnya seseorang tersebut tidak ditakdirkan untuk bersama kita, sehingga kita harus dengan berat hati membiarkannya pergi dan berlalu.

Teman terbaik adalah teman di mana ketika kita duduk bersama di sebuah buaian, tanpa ada ucapan pun, dan ketika harus berpisah dengannnya, terasa seolah-olah hal tersebut merupakan percakapan paling menyenangkan yang pernah dilakukan bersama.

Adalah benar bahawa kita takkan pernah tahu apa yang telah kita dapat sehingga kita kehilangannya. Benar juga, kita tidak tahu apa yang telah hilang hingga hal tersebut berlaku.

Impikan saja apa yang ingin kita impikan, pergi saja ke mana pun kita ingin pergi, jadilah seperti apa yang kita inginkan, kerana kita hanya memiliki sebuah kehidupan dan sebuah kesempatan untuk melakukan perkara yang kita inginkan.

Letakkan diri kita sebagai layaknya orang lain, jika kita merasa hal yang kita lakukan akan menyakiti diri kita, hal tersebut mungkin akan menyakiti yang lain pula.

Kata-kata yang terucap tanpa perhitungan mungkin akan membawa kepada perselisihan, perkataan yang kejam dapat menghancurkan kehidupan, sepatah kata yang tak tepat mungkin juga mampu menambah beban batin seseorang, dan... sebuah kata yang penuh cinta kasih mungkin dapat menyembuhkan dan memberikan berkah.

Orang yang paling bahagia adalah orang yang tidak selalu memerlukan semua hal terbaik, mereka hanya berfikir bagaimana mencipta sesuatu menjadi terbaik bagi mereka, yang berlaku dalam hidupnya.

Cinta dimulai dengan sebuah senyuman, kemudian tumbuh dengan sebuah kucupan, dan berakhir dengan air mata. Ketika kita dilahirkan, kita menangis begitu kerasnya, sementara orang-orang di sekeliling kita tersenyum bahagia. Ketika kita meninggal dunia, kita adalah pihak yang tersenyum begitu bahagia... sementara orang di sekeliling kita menangis.

Tuesday, February 10, 2009

Adakah Cinta Memerlukan Sebab??


Dalam satu kisah percintaan yang menarik. Sepasang suami isteri berjalan di tepi sebuah tasik yang indah. Kemudian mereka berhenti di sebuah bangku yang disediakan di tepi tasik. Kemudian si isteri bertanya kepada si suami. Ini dialog mereka,

Isteri : Mengapa abang menyukai saya? Mengapa abang cintakan saya?
Suami : Abang tidak boleh menerangkan sebabnya, namun begitu abang memang menyayangi dan mencintai Sayang

Isteri : Abang tak boleh terangkan sebabnya? Bagaimana abang boleh katakan abang sayang dan cintakan saya sedangkan abang tidak boleh menerangkannya.

Suami : Betul! Abang tak tahu sebabnya tetapi abang boleh buktikan bahawa abang memang cintakan Sayang!

Isteri : Tak boleh beri bukti! Tidak! Saya hendak abang terangkan kepada saya sebabnya. Kawan-kawan saya yang lain yang mempunyai suami dan teman lelaki, semuanya tahu menerangkan mengapa mereka mencintai. Dalam bentuk puisi dan syair lagi. Namun begitu abang tidak boleh terangkan sebabnya.

Si suami menarik nafas panjang dan dia berkata "Baiklah! Abang mencintai Sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga sukakan senyuman manis dan setiap tapak Sayang melangkah, di situlah cinta Abang bersama Sayang!"

Si isteri tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan suaminya tadi.
Namun begitu selang beberapa hari si isteri mengalami kemalangan dan koma.

Si suami amat bersedih dan menulis sepucuk surat kepada isterinya yang disayangi. Surat itu diletakkan di sebelah katil isterinya di hospital. Surat tersebut berbunyi begini :

"Sayang, jika disebabkan suara aku mencintai mu... sekarang bolehkah engkau bersuara? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu. Jika disebabkan kasih sayang dan ingatan aku mencintai mu... sekarang bolehkah engkau
menunjukkannya? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu. Jika disebabkan senyuman aku mencintai mu... sekarang bolehkah engkau tersenyum? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu. Jika disebabkan setiap langkah aku mencintai mu.... sekarang bolehkah engkau melangkah? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu. Jika cinta memerlukan sebabnya, seperti sekarang. Aku tidak mempunyai sebab mencintai mu lagi.

Adakah cinta memerlukan sebab? Tidak! Aku masih mencintai mu dulu, kini, selamanya dan cinta tidak perlu ada sebab. Kadangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang. Namun begitu... ia boleh dirasai dalam hati."

Thursday, February 5, 2009

Burung Gagak

Pada suatu petang seorang tua bersama anak mudanya yang baru menamatkan pendidikan tinggi duduk berbincang-bincang di halaman sambil memperhatikan suasana di sekitar mereka. Tiba-tiba seekor burung gagak hinggap di ranting pokok berhampiran. Si ayah lalu menuding jari ke arah gagak sambil bertanya, "Nak, apakah benda itu?"

"Burung gagak", jawab si anak.

Si ayah mengangguk-angguk, namun sejurus kemudian sekali lagi mengulangi pertanyaan yang sama. Si anak menyangka ayahnya kurang mendengar jawabannya tadi lalu menjawab dengan sedikit kuat, "Itu burung gagak ayah!"

Tetapi sejurus kemudian si ayah bertanya lagi soal yang sama. Si anak merasa agak keliru dan sedikit bingung dengan persoalan yang sama diulang-ulang, lalu menjawab dengan lebih kuat, "BURUNG GAGAK!!" Si ayah terdiam seketika. Namun tidak lama kemudian sekali lagi sang ayah mengajukan pertanyaan yang serupa hingga membu! at si anak hilang kesabaran dan menjawab dengan nada yang kesal kepada si ayah, "Gagaklah ayah.......".

Tetapi agak mengejutkan si anak, karena si ayah sekali lagi membuka mulut hanya untuk bertanya soal yang sama. Dan kali ini si anak benar-benar hilang sabar dan menjadi marah.

"Ayah! Saya tak tahu ayah paham atau tidak. Tapi sudah lima kali ayah bertanya soal hal tersebut dan saya sudah juga memberikan jawabannya. Apa lagi yang ayah mau saya katakan?"

"Itu burung gagak, burung ga..ga..gak ayah.....", kata si anak dengan nada yang begitu marah.

Si ayah terus bangun menuju ke dalam rumah meninggalkan si anak yang kebingungan. Sesaat kemudian si ayah keluar lagi dengan sesuatu ditangannya. Dia menghulurkan benda itu kepada anaknya yang masih geram dan tertanya-tanya. diperlihatkannya sebuah diari lama.

"Cuba kau baca apa yang pernah ayah tulis di dalam diari itu", pinta si ayah. Si anak setuju dan membaca paragraf yang berikut..........

"Hari ini aku di halaman melamun kerana anakku yang genap berumur lima tahun. Tiba-tiba seekor gagak hinggap di pohon berhampiran."

Anakku terus menunjuk ke arah gagak dan bertanya, "Ayah, apa itu?".

Dan aku menjawab, "burung gagak". Walau bagaimana pun, anak ku terus bertanya soalan yang serupa dan setiap kali aku menjawab dengan jawaban yang sama.

Sehingga 25 kali anakku bertanya demikian, dan demi cinta dan sayangnya aku terus menjawab untuk memenuhi perasaan ingin tahunya. Aku berharap hal ini menjadi suatu pendidikan yang berharga."

Setelah selesai membaca perenggan tersebut si anak mengangkat muka memandang wajah si ayah yang kelihatan sayu. Si ayah dengan perlahan bersuara, "Hari ini ayah baru bertanya kepadamu soalan yang sama sebanyak lima kali, dan kau telah hilang sabar serta marah."

Wednesday, February 4, 2009

Cinta, Sayang, Suka dan Minat

CINTA Kita memang mengharapkan dia menjadi milik kita. Segala apa yang kita buat, kalau boleh dia ingin mengetahuinya dan kita sebaik mungkin tidak mahu menyakitkan hatinya. Kita juga akan sentiasa berfikir tentang dirinya, biar pun sesaat.

SAYANG Kita memerlukan dia di masa kita mahukan seseorang untuk berkongsi rahsia dan kisah suka dan duka kita. Selalunya kita akan sayangkan seseorang yang menjadi 'telinga' kepada masalah kita.

SUKA Kita sukakan dia kerana dia seorang yang kelakar malahan dia juga happy-go-lucky. Bila bersama-sama dengan dia, kita akan rasa gembira, gelak tawa bersama sampai mahu pecah perut dibuatnya. Tapi, kita tidaklah terlalu merinduinya sekiranya tidak berjumpanya selama seminggu.

MINAT Ada sesuatu pada dirinya yang menarik untuk kita mendekatinya. Katakan, kita suka orang yang tinggi, tegap dan berambut kemas, sudah pasti kita akan melihat gerak-gerinya. Sekiranya dia pandai melukis, apa sahaja yang dilukisnya pasti cantik belaka.

Hati Kita Siapa Yang Tahu

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.
"Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut.

"Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya.

Pada hari yang Pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan.

Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata "Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya.

Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya .

Tetapi ingatlah, tak kisah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatan mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal.

Sahabat adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakkan mu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.

NOTA: MAAFKAN SHA JIKA PERNAH MENINGGALKAN KESAN BERLUBANG DI DINDING HATI ANDA. SEMAKIN UMUR SHA BERTAMBAH, SIFAT KESABARAN PUN MAKIN MENINGKAT......DAPAT BERFIKIR BAIK DAN BURUK SEBELUM MEMBUAT SESUATU KERJA......YANG BAIK ITU DARI ALLAH, YANG BURUK ITU DARI SHA SENDIRI....

Refleksi Tangan & Kaki








Kerikil Hitam & Kerikil Putih

Alkisah, ada seorang petani yang berhutang sangat banyak kepada seorang lintah darat. Si lintah darat menyukai anak perempuan si Petani. "Hei petani, hutangmu akan kuanggap selesai kalau aku boleh menikahi anak perempuanmu!" katanya.

Tentu saja si Petani dan anak perempuannya itu menolaknya. Si lintah darat yang licik itu tidak menyerah. "Biarlah kita buang undi. Saya akan memasukkan dua kerikil ke dalam kotak ini, satu hitam dan satu putih. Anak perempuanmu akan mengambil salah satu. Kalau terambil hitam, maka hutangmu lunas dan aku akan mendapat anak perempuanmu. Kalau yang terambil putih, hutangmu selesai padaku dan aku tidak akan menikahi puterimu. Dan jika anak perempuanmu tidak mau mengambilnya, kamu akan masuk penjara!" katanya sambil ketawa.

Anak perempuan petani itu tahu kelicikan si lintah darat. Tanpa sengaja anak perempuan petani itu melihat si lintah darat memasukkan dua kerikil hitam ke dalam kotak. Anak perempuan petani itu berfikir cara untuk menanggani perkara tersebut. Dilema yang sangat besar baginya, kerana kalau dia menolak untuk mengambil kerikil tersebut, ayahnya akan masuk penjara. Kalau dia mendedahkan perbuatan si lintah darat, dia sangat takut dan mungkin akan menyusahkan ayahnya. Tetapi kalau ia mengambil kerikil tersebut, pastilah kerikil hitam yang akan diambilnya.

Setelah berdoa dan berfikir, anak perempuan petani itu akhirnya mendapat akal. Dengan disaksikan penduduk sekitar yang datang, dia dengan yakin mengambil salah satu kerikil dalam kotak itu, lalu menggenggamnya, dan kemudian tanpa membuka genggamannya ia mempersilakan si lintah darat untuk melihat kerikil yang masih ada dalam kotak. "Apakah warna kerikil yang berada di dalam kotak Tuan?" tanya anak perempuan petani itu. Tentu saja si lintah darat terperanjat dengan kepintaran anak perempuan petani itu. "Hitam …" katanya.

"Kerana Tuan telah memasukkan satu kerikil hitam dan satu kerikil putih, bererti yang ada dalam genggamanku ini adalah kerikil putih!" kata anak perempuan petani itu sambil tersenyum.

Akhir cerita, hutang si Petani selesai dan anak perempuannya tetap tinggal bersama-sama dengannya . Sampai lintah darat dan semua penduduk pulang ke rumah masing-masing, anak perempuan petani itu tetap tidak membuka genggamannya. Ia tidak ingin memalukan lintah darat itu dengan menunjukkan kelicikannya dalam hal kerikil hitam dan kerikil putih itu. Ia telah memberikan pelajaran berharga bagi si lintah darat, bagaimana niat jahatnya dibalas dengan tindakan bijak.

Moralnya:
Ketika menghadapi masalah, kita CENDERUNG memikirkan jalan keluar sesuai dengan cara yang BIASA digunakan, kerana cara-cara tersebut telah diajarkan atau diberitahukepada kita. Tidak ada yang salah dengan hal itu, tetapi mungkin ADA cara LAIN yang lebih tepat, lebih efektif dan efisien, atau lebih sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kemampuan BERFIKIR KREATIF dan BERFIKIR DI LUAR KEBIASAAN yang ada (think out of the box) untuk mendapatkan cara lain dalam menyelesaikan masalah, dan hal ini boleh dilakukan TANPA melanggar norma, aturan, atau prosedur yang berlaku.

Anda ada cadangan lain bagaimana anak perempuan petani boleh menyelesaikan masalah di atas, kongsikan bersama di sini.

Monday, February 2, 2009

Pantun Pilihan

Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara

Tetak buluh panjang suluh
Mari jolok sarang penyengat
Angkat doa jari sepuluh
Doa minta biar selamat

Hendak dulang diberi dulang
Dulang berisi sagu mentah
Hendak pulang ku beri pulang
Tinggalkan pantun barang sepatah

*******************************

Di anjung beranda sepi melaga ,
Meniup serunai kurniaan hikayat ;
Kasih bonda menjunjung syurga ,
Akan kusemai sepanjang hayat .


Selasih tumbuh di tepi telaga
Selasih dimakan si anak kuda
Kasih ibu membawa ke syurga
Kasih saudara masa berada

Terang bulan di malam sepi
Cahaya memancar ke pangkal kelapa
Hidup di dunia buatlah bakti
Kepada ibu dan juga bapa

Dari mana punai melayang
Dari sawah turun ke bendang
Dari mana datangnya sayang
Dari mata turun ke hati

Februari 2009

Bulan Februari selalu dikaitkan sebagai Bulan Kasih Sayang... bukankah kasih sayang tu perlu hari-hari bukan hanya di bulan Februari.

Kasih sayang mempunyai pengertian yang luas. Kasih sayang untuk Allah Maha Pencipta, ibu dan bapa, keluarga serta saudara mara, kawan-kawan dan sahabat, juga haiwan serta alam sekitar.

Perasaan kasih dan sayang ini unik. Kita mampu memberi kasih sayang dan juga menerima kasih sayang. Walaupun tidak diucapkan, kita akan faham wujudnya kasih sayang melalui perbuatan dan bahasa tubuh. Unik kan..

Apa Beza Cinta Dan Sayang?

Apa makna 'cinta' dan apa pula makna 'sayang'? Adakah cinta itu lebih besar dari perasaan 'sayang' ataupun 'cinta' itu lebih mendalam dari perasaan 'sayang'? Setiap kali soalan ini diajukan, lelaki pasti mengatakan bahawa 'cinta' mereka adalah agung, terlalu besar dan tidak dapat dinilaikan oleh seorang wanita.

Sha mengerti erti 'cinta' dan 'sayang' dari pengalaman yang agak menarik. 'Cinta' selalunya menyakitkan, menyedihkan, memerlukan pengorbanan dari ramai pihak. 'Cinta' yang diagungkan tidak banyak yang kekal. 'Cinta' boleh merosakkan keyakinan diri, maruah dan juga kepercayaan seseorang terhadap kehidupan yang bahagia.

Bagi Sha, perasaan 'sayang' adalah satu anugerah Tuhan terhadap makhluknya. 'Sayang' tidak semestinya dibalas oleh pihak yang kedua mahupun yang ketiga. Perasaan 'sayang' yang ada dalam diri lebih luas dan mendalam terhadap setiap makhluk yang ada di bumi ini. Melihat kebahagian orang yang kita 'sayangi' merupakan satu perasaan indah yang tak mungkin dapat dinilai dengan wang ringgit.

Bagi mereka yang sedang asyik ber'cinta', cuba fikirkan, sekiranya seseorang itu kita 'cintai bukankah kita tidak sepatutnya bergaduh, mungkir janji, saling memarahi dan mencurigai sesama diri.

Bagi Sha, bila kita 'sayang' seseorang, kita sanggup menerima dia seadanya, sanggup memaafkan dan masih boleh berbaik walau sebesar mana kita bergaduh dengannya. Tapi apabila kita 'cinta' pada seseorang, kita akan cuba mengubah dia menjadi seperti apa yang kita inginkan, jika berlaku pergaduhan kita tidak mahu lagi ingat dan memaafkan dia, sehingga kita cuba melupakan perkara baik yang pernah dia lakukan atau berikan sebelum ini.

Terpulang pada diri sendiri. Cinta pd Allah sudah semestinya. Tetapi jika kita dah temui insan yg sejati, cinta itu hadir tanpa disedari. Percayalah... .. masih ada manusia yg baik di bumi Allah ini.

Sha percaya dan sentiasa menginginkan kehidupan yang penuh dengan 'sayang' yang wujud di antara manusia...
This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim