Sunnatullah bagi seorang manusia untuk
diuji ketika menjalani kehidupannya. Kadangkala dia diuji dengan
kesenangan dan kadangkala pula diuji dengan kesulitan serta kesempitan
hidup sebagai pembuktian ‘ubudiyah (kehambaan) kepada Allah ketika menaiki tingkat demi tingkat keimanan dalam dirinya.
Kadar seseorang manusia menghadapi
kesulitan hidupnya adalah berbeza bergantung kepada kemampuan dan
kekuatan dirinya. Yang dimaksudkan di sini bukanlah kekuatan tubuh badan
tetapi kekuatan jiwanya yang dipandu oleh akal yang sejahtera
berlandaskan tingkatan iman dan aqidah dalam dirinya.
Justeru, reaksinya apabila berhadapan
dengan kesulitan dalam hidup bakal mencerminkan kekuatan yang berada
dalam dirinya. Adakah dia mampu bersabar dan bertahan dalam menempuh
ujian tersebut atau sebaliknya pula bilamana dia akan bertindak di luar
batasan normal akal dan fikirannya?
Bagi seorang daie (pendakwah)
yang mengajak manusia kepada Allah, sudah menjadi suatu ketetapan Allah
bahawa dia akan menghadapi penolakan, tentangan, cacian, makian dan
berbagai-bagai lagi ujian yang merintangi jalan dakwah ini. Dan dia
meyakini bahawa hakikat jalan dakwah ini adalah jalan yang sukar dan
panjang, jalan yang ditaburi dengan duri-duri yang tajam, dan bukanlah
jalan yang dipenuhi dengan bunga-bunga yang mekar di sepanjangnya. Lalu,
bagaimanakah reaksinya sendiri apabila berdepan dengan sebarang bentuk
ujian itu?
Saat dia ditinggalkan oleh orang yang diserunya sama ada kepada kebaikan atau dalam menjauhi keburukan…
Saat dia dipulaukan oleh rakan-rakannya…
Saat dia dihina dengan dengan kata-kata yang keji oleh manusia sekelilingnya…
Saat dia berselisih pendapat dengan barisan sahabat seperjuangnnya…
Saat dia menghadapi masalah dengan keluarganya…
Saat dia menghadapi kesempitan dalam kewangan, pelajaran dan lain-lain masalah yang besar dalam hidupnya..
Sehinggakan setiap saat dia merasa diuji dalam hidupnya…..
Bagaimana dia berdepan dengan ujian
tersebut? Adakah dia sabar atau marah? Adakah dia tenang atau gelisah?
Betapa hikmah dari sebuah ujian itu adalah untuk menyingkap kekuatan ma’nawiyah dan keimanan seorang daie.
Menahan diri dari marah
Mereka yang ditimpa ujian akan
menyaksikan respon yang pelbagai. Antara yang jelas disaksikan adalah
sabar, tenang, tersenyum, menggelabah dan tidak kurang juga yang
menzahirkan perasaan marah dan tidak berpuas hati. Bukankah agak biasa
dilihat pemandangan mereka yang marah dan merungut-rungut ketika
terhimpit dalam kesesakan lalu lintas? Atau ketika menunggu giliran
mendapatkan perkhidmatan di pejabat awam? Atau ketika berhadapan dengan
kesilapan kecil yang tidak disengajakan?
Sebuah hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang sifat menahan amarah:
“Sesiapa yang menahan marah, padahal
dia boleh melepaskan kemarahannya, maka kelak pada hari kiamat, Allah
akan memanggilnya di depan sekalian makhluk dan disuruhnya memilih
bidadari yang dia ingini.” (HR. Abu Dawud – At-Tirmidzi)
Yang dimaksudkan dengan menahan marah di
sini adalah seseorang itu cuba menelan marahnya, menahannya daripada
terzahir serta bersabar dengannya semata-mata kerana takutkan Allah dan
mengharapkan keredhaan-Nya sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya !
Bukanlah dia menahan kemarahan itu
kerana mencari redha manusia atau kerana dia tidak mampu melaksanakannya
(lemah kerana takutkan kuasa makhluk di sekelilingnya), tetapi dia
meletakkan redha Allah dihadapannya, membatasi setiap tindakan dalam
berinteraksi dengan manusia dan ujian kehidupannya.
Lantas, kelak Allah memanggilnya pada
Hari Kiamat bersaksikan seluruh makhluk, dan dia berhak untuk memilih
mana-mana bidadari syurga yang dia inginkan untuk dikahwininya serta
menjadi isterinya di dalam syurga Allah yang kekal abadi. Subhanallah!
Betapa besar ganjaran yang telah Allah sediakan buat orang yang menahan
marahnya hanya kerana-Nya…
Inilah penolak buat seorang daie
untuk memelihara marahnya, kerana dia tahu betapa besar ganjaran
usahanya itu kelak berbanding usaha dirinya untuk menahan marah yang
berbaki setelah dia langsai melepaskan amarahnya terlebih dahulu. Lalu,
dia berusaha menahan dirinya, membatasi akal fikirannya dengan kekuatan
iman,bertindak dengan rasional saat dia diuji dan akhirnya mengharapkan
sesuatu yang pasti dalam berhadapan dengan ujian kehidupannya.
Allah menggariskan sifat menahan marah ini sebagai sifat dan ciri-ciri orang yang bertaqwa sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 133-134:
“Dan bersegeralah kamu kepada
keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan
bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. (Iaitu)
orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun
sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan)
orang. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”
Juga firman Allah SWT di dalam surah Al-Furqan ayat 63 tentang ciri-ciri ‘ibadurrahman:
“Dan
hamba-hamba al-Rahman (Yang Maha Mengasihani) itu (ialah) orang yang
berjalan di atas bumi dengan rendah hati, dan apabila orang jahil
menegur mereka, maka mereka mengucapkan kata-kata ‘salam’.”
Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:
“Kekuatan itu bukanlah ketika menang
dalam pertarungan, sesungguhnya kekuatan yang sebenar ialah apabila
dapat menahan diri dari kemarahan.”
Hakikat kekuatan
Dia wajar dikatakan kuat apabila dirinya
berjaya menahan diri dari kemarahan. Justeru, secara amalinya
bagaimanakah untuk seorang daie itu merealisasikan hakikat ini dalam dirinya?
Formula yang disediakan ialah dengan
memikirkan ganjaran dan pahala yang Allah sediakan buat dirinya di
akhirat kelak hasil daripada menahan marahnya.
Memikirkan bagaimana dia akan berdiri di hadapan Allah kelak dengan digelar seorang yang pemarah.
Sebesar mana kemarahnnya kepada makhluk
Allah di dunia ini, adakah akan menghasilkan keredhaan Allah buatnya?
Atau mampukah dia membandingkan kemarahan-Nya Yang Maha Berkehendak
namun Dia juga Yang Maha Pemaaf buat hamba-Nya? Sedangkan kita, seolah
pandai mengatur rencana sendiri untuk marah atau terasa ‘murka’ dengan
kelibat kesalahan yang tercalit walaupun sedikit sahaja ke atas dirinya.
Dan sesungguhnya di sisi Allah ada azab yang sangat pedih.
Bersegeralah untuk memberi kemaafan dalam mengharapkan kelembutan dan perlindungan Allah ke atas dirinya.
Juga memikirkan betapa sifat amarah
inilah yang menjadi permulaan kepada permusuhan dan terputusnya
silaturrahim dengan manusia lain di dunia ini. Masalah yang semakin
disemarakkan hanya dengan marah.
Dan banyak lagi akibat-akibat buruk untuk difikirkan dan disenaraikan yang sewajarnya mampu membawa seorang daie itu menjauhi sifat marah ini dengan menggunakan senjatanya yang ampuh iaitu beristi’azah
(memohon perlindungan) dari Allah pada setiap saat. Tatkala sifat
marah mula menguasai dirinya, dia cuba untuk menukarnya dengan bertenang
dan berfikir dengan rasional. Dan seterusnya, dia memenangkan iman ke
atas dirinya.
Contoh dari baginda
Semoga kita dapat mencontohi teladan
yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dalam memaafkan
manusia. Ketika peristiwa di Taif, Rasulullah SAW telah dibaling dengan
batu sehingga baginda mendapat luka dan cedera serta dimaki dengan
kata-kata yang kesat. Impak dari baginda adalh dengan sabar bagi setiap
ujian tersebut malah mendoakan buat kaum Taif dengan doa :
“Ya Allah! Beri olehmu petunjuk pada kaumku ini kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”
Inilah sebaik-baik akhlak yang
ditunjukkan oleh sebaik-baik qudwah. Maka, tidak rugi bagi kita untuk
menerap acuan yang sama dalam berakhlak dengan akhlak baginda. Anugerah
Allah yang mengurniakan sebaik-baik Nabi buat sebaik-baik umat.
‘Ya Allah! Jadikanlah kami dari golongan
orang-orang yang dapat menahan kemarahan kami, dan jadikanlah kami dari
kalangan orang yang suka memberi kemaafan dan perdamaian. Golongkanlah
kami dengan orang-orang yang beramal dan mengikuti apa yang telah
diperintahkan oleh Allah, mengikuti penghulu segala nabi-nabi dan
rasul-rasul iaitu penghulu kami Muhammad SAW. Ya Allah! terimakanlah doa
kami.’
Tahun 6, Kuliah Perubatan,
Universiti Kaherah
Sumber: Laman Web ISMA Mesir
No comments:
Post a Comment