"Jika ada sesiapa yang pinta CINTAmu, katakanlah ianya hanya pada Allah,
Jika ada sesiapa yang pinta KASIHmu, katakanlah ianya hanya pada Rasulullah,
Jika ada sesiapa yang pinta RINDU dan SAYANGmu, katakanlah ianya hanya pada ibu dan ayah,
...dan...
Jika ada sesiapa yang pinta untuk di HATImu, maka berilah ia kepada kepada orang yang benar-benar menghargainya"

Thursday, November 1, 2012

Puteri Kecintaan Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam : SAIDATINA FATIMAH BINTI MUHAMMAD


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“Malaikat turun  lalu menyampaikan khabar gembira kepadaku bahawa sesungguhnya Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.

Serikandi tauladan kali ini menghidangkan kisah salah seorang dari kalangan kerabat terdekat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, belahan hati baginda, sisi pilihan dari kalangan wanita solehah terbaik sepanjang zaman dan pemimpin para wanita penghuni syurga. Beliaulah Saidatina Fatimah Radiallahu anha, puteri pemimpin umat manusia, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam , Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf Al-Qursyiyah Al-Hasyimiyah; ibu Hasanain, Al-Hasan dan Al-Husin.

 


Fatimah dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membina semula bangunan Kaabah,iaitu lima tahun sebelum Nubuwwah.  Fatimah Radiallahu anha merupakan puteri bongsu dan puteri paling utama kepada pasangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan Saidatina Khadijah Radiallahu anha.  Beliau membesar di rumah nubuwwah yang suci, matanya celik seawal usia untuk menjadi saksi urusan risalah yang dikhususkan Allah bagi ayahnya, Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.  Ibunya, Saidatina Khadijah bintu Khuwailid Radiallahu anha, wanita terbaik pendamping Rasul akhir zaman.  Suami Saidatina Fatimah adalah antara Khalifah Ar-Rasyidin yang utama, pemimpin kaum muslimin di zamannya, Saidina Ali bin Abu Thalib Radiallahu anhu.  Anak-anak kepada pasangan ini adalah dua orang pemimpin para penghuni syurga, dua cucu Rasulullah, Al-Hasan dan Al-Husin Radiallahu anhuma.  Datuk saudara beliau adalah pemimpin para syuhada’ Asadullah, Hamzah bin Abdul Muthalib.  Datuk saudara beliau yang lain adalah pemimpin Bani Hasyim yang biasa melindungi para tetangga, mengorbankan harta, terbiasa bersedekah kepada fakir miskin, iaitu Al-Abbas bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu. Jaafar bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu, adalah antara datuk saudara beliau yang utama, sekaligus bapa saudara kepada suaminya, yang merupakan pemimpin para syuhada’, dan panji para mujahidin.

Setelah turunnya wahyu yang membawa tugas risalah kenabian kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari sisi Rabbnya, maka Ummul Mukminin Khadijah Radiallahu anha adalah manusia yang pertama sekali beriman terhadap risalah haq tersebut.  Begitu juga dengan puteri-puteri Rasulullah yang suci; Zainab, Ruqayyah, Ummu Kultsum dan Fatimah juga tercatat sebagai orang-orang yang berada di saff hadapan dari kalangan orang-orang terawal menerima Islam.  Ibnu Ishaq Radiallahu anhu menyebutkan dari Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah Radiallahu anha sebagai berkata, “Setelah Allah Subhanahu wa Taala memuliakan nabiNya dengan nubuwwah, maka Khadijah dan puteri-puterinya masuk Islam.”  Puteri-puteri Rasulullah berada dalam satu ikatan bersama ibu mereka dalam kelompok terdepan di landasan dakwah Islamiyyah, yang dibekali dengan keIslaman dan keimanan yang teguh kepada Allah dan RasulNya.

WANITA YANG SABAR DAN BERTAKWA
Di dalam sirah perjalanan dakwah Rasulullah, baginda bangkit menyampaikan risalah Rabbnya tanpa mengendahkan sebarang cubaan, tekanan, penyeksaan, cacian, perlecehan, dan pendustaan yang dilakukan oleh kaum yang memusuhi baginda.  Saidatina Fatimah menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi oleh Rasulullah, malahan beliaulah yang mengubati kesedihan dan menghiburkan hati ayahnya saat berhadapan dengan kejahilan kaum musyrikin ketika itu.

Salah satu peristiwa yang kekal di dalam ingatan puteri Rasulullah ini ialah apabila menyaksikan penghinaan dari salah seorang Quraisy yang kasar dan sangat buruk tingkahlakunya, Uqbah bin Abu Mu’aith.  Si jahil ini menawarkan diri untuk melemparkan kotoran isi perut unta ke belakang tubuh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika baginda sedang sujud, sehingga baginda tidak mampu untuk bangkit dari sujudnya.  Saidatina Fatimah segera mendatangi ayahnya untumembersihkan kotoran tersebut, sebelum menghampiri kelompok musyrikin yang merancang perbuatan keji itu .  Dengan lantang dan penuh berani, beliau mencaci dan mencela tindakan mereka yang sangat tidak beradab.

Seusai solat tersebut, Rasulullah menadahkan tangan baginda dan berdoa bagi kecelakaan mereka, dengan bersabda, “Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Syaibah bin Rabi’ah. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Abu Jahl bin Hasyim. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Uqbah bin Abu Mu’aith. Ya Allah, ada kewajipan untuk Engkau mencelakakan Umayyah bin Khalaf”.  Doa baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dikabulkan Allah Subhanahu wa Taala.  Nama-nama kaum musyrikin yang disebutkan di dalam doa tersebut terbunuh semasa Perang Badar.

Kehidupan puteri Rasulullah ini juga tidak lari dari penderitaan akibat perbuatan kejam kaum musyrikin yang membenci dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam .  Salah satunya ialah ujian pemboikotan ke atas seluruh kaum Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib di mana orang-orang Musyrik menemukan kata sepakat untuk melancarkan boikot secara total terhadap mereka. Tidak ada urusan jual beli, tidak ada pembicaraan, tidak ada pergaulan, sehinggalah Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menyerahkan Rasulullah kepada orang-orang Quraisy. 

Akibatnya, seluruh kerabat Rasulullah kecuali Abu Lahab dipulaukan dan dikepung di perkampungan Abu Thalib.  Sepanjang tempoh hampir tiga tahun itu, seringkali kedengaran tangisan anak-anak kecil dan rintihan para wanita lantaran kelaparan.  Natijah dari peristiwa ini juga, kesihatan Saidatina Khadijah Radiallahu anha merosot dan berlanjutan sehinggalah beliau kembali bertemu dengan Rabbnya.

Kesan terbesar dari episod pemulauan tersebut ialah pemergian Saidatina Khadijah Radiallahu anha. Dengan kehilangan tersebut, Fatimah lah yang memikul beban kehidupan dan berkongsi penderitaan berat yang dialami oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Walaubagaimanapun, hal tersebut malah menambahkan keimanan dan ketaqwaan dirinya serta membuatkan beliau semakin dekat dengan ayahnya.

Saidatina Fatimah Az-Zahra juga termasuk di antara wanita yang berhijrah.  Di Madinah, beliau membuka lembaran baru kehidupan dikelilingi kaum yang murah hati, yang mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka serta melebihkan kaum Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri.

TELADAN RUMAHTANGGA ALI DAN FATIMAH
Pada tahun kedua selepas hijrah, Saidina Ali bin Abu Thalib menikahi Saidatina Fatimah dengan maharnya baju besi yang nilainya hanya empat dirham.  Pernikahan penuh berkat itu terjadi setelah Perang Badar Al-Kubra.

Sejarah tidak pernah mengenal seorang wanita yang mampu menghimpun kesabaran dan ketakwaan seperti halnya Saidatina Fatimah.  Semenjak hari pertama perkahwinannya dengan Ali, beliau terpaksa mengerjakan seluruh tugas rumah tangga yang sangat berat ketika itu, bermula dari kerja menggiling bahan makanan dan membuat adunan roti sehingga rambutnya terkena percikan-percikan tepung atau terkadang terkena debu. 

Beliau jugalah yang memproses dan memasak adunan roti tersebut.  Ini terjadi kerana suaminya tidak mampu mengupah pembantu untuk membantu Fatimah dalam menyelesaikan urusan rumahtangganya.  Bahkan Ali sempat berpesan kepada ibunya, Fatimah bintu Asad kerana menyedari tugas-tugas berat Fatimah di rumahnya, “Janganlah membebani Fatimah bintu Rasulullah dengan pekerjaan di luar rumah, dan cukuplah dia mengerjakan pekerjaan di dalam rumah, membuat tepung, adunan roti dan memasak” . Ali juga menyedari kesan-kesan keletihan di wajah Fatimah, tetapi beliau sering menghiburkan isterinya dengan menyebutkan yang harta rampasan dan tawanan perang akan datang kepada mereka.

Apabila tiba masa yang sesuai, Ali menasihati isterinya agar mendatangi Rasulullah untuk meminta seorang pembantu dari kalangan tawanan perang.  Permintaan keduanya ditolak secara baik oleh Rasulullah kerana baginda lebih mementingkan kemaslahatan kaum muslimin yang lain.  Rasulullah menyusuli pasangan tersebut di waktu tengah malam dan bersabda kepada keduanya:

"Bagaimana jika kuberitahukan kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian pinta kepadaku? Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung setiap solat sebanyak sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali dan bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak ke tempat tidur,bertasbihlah tiga puluh kali, bertahmidlah tiga puluh kali dan bertakbirlah tiga puluh kali.
”  [Ditakhrij Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan Abu Daud]

Kalimah-kalimah ini menjadi bekalan Ali dan Fatimah yang sentiasa mereka ucapkan sehingga akhir hayat mereka.

KEMULIAAN PERIBADI FATIMAH RA
Abu Nuaim rahimahullah menyifati Fatimah Az-Zahra; dalam Al-Hilyah dengan berkata,” Di antara para wanita yang suci dan bertakwa ialah Fatimah Radiallahu anha. Dia menghindari dunia dan kesenangannya, mengetahui aib dunia dan bencananya.”

Kehidupan Fatimah Az-Zahra diwarnai kesederhanaan namun ditaburi barakah dan cahaya yang mengisyaratkan zuhud, wara’ dan ketakutannya kepada Allah serta sentiasa berbuat baik semata-mata untuk meraih keredhaanNya.  Rasulullah pernah menegur Fatimah ketika puteri kesayangan baginda itu mengenakan seuntai kalung dari emas, hadiah pemberian dari suaminya. Rasulullah kemudiannya bersabda: “Wahai Fatimah, apakah engkau suka jika orang-orang berkata, ‘Inilah Fatimah bintu Muhammad, yang di tangannya terpegang kalung dari api neraka?”.  Saidatina Fatimah lantas membeli seorang hamba dengan kalung emas tersebut dan memerdekakannya.  Sebaik Rasulullah mengetahui hal tersebut, baginda bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan Fatimah dari api neraka”.

Fatimah Az-Zahra mencapai tingkat ketakwaan, keutamaan dan zuhud yang tidak terkalahkan oleh wanita di zamannya.  Beliau turut menempati kedudukan yang tinggi dalam hal As-shiddiq, yang suci dan diberkati. Kemuliaan ini diakui sendiri oleh Saidatina Aisyah Radiallahu anha dengan menyebutkan, “ Aku tidak melihat seseorang yang lebih benar perkataannya selain dari Fatimah, kecuali ayahnya”.

Adz-Zahaby Rahimahullah menyebutkan kemuliaan peribadi Fatimah dengan berkata, “Beliau seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan diri, suka bersyukur kepada Allah dan Rasulullah sangat memuliakannya”.  Beliau menduduki kedudukan yang istimewa di antara para wanita Islam, sehingga beliau mendapat sebutan al-batul, kerana kelebihan beliau di dalam lapangan ibadah, ditambah dengan kelebihan agama dan keturunannya.

MUJAHIDAH YANG MEMENUHI HAK
Saidatina Fatimah Radiallahu anha tercatat di antara tokoh muslimah yang namanya harum di medan jihad.  Di dalam Perang Uhud contohnya, suatu perang yang memberikan pengajaran besar bagi kaum muslimin ketika itu.  Imam Al-Bukhari mengisahkan peranan Fatimah dengan berkata, “Beberapa orang wanita dari kalangan Muhajirin dan Ansar keluar, sambil mengusung air dan makanan di belakang mereka, termasuklah Fatimah bintu Rasulullah.  Ketika beliau menyaksikan darah mengucur di wajah ayahnya, maka beliau segera memeluknya, lalu mengusap darah di wajah baginda.  Pada saat itu, beliau berkata, ‘"Amat besar kemarahan Allah terhadap orang-orang yang membuatkan wajah RasulNya berdarah”.

Sah’l bin Sa’d pula menceritakan peristiwa tersebut dengan  menyebutkan, “ Rasulullah terluka sehingga gigi baginda patah. Fatimah bintu Rasulullah mencuci darah yang mengucur di wajah baginda, sedangkan Ali mengalirkan air dengan menggunakan bekas air.  Ketika Fatimah melihat bahawa air tersebut semakin membuatkan darah mengalir deras, maka beliau mengambil potongan tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu.  Lalu disapukan di luka baginda, sehingga darah tidak lagi mengalir dari luka tersebut.”

Fatimah turut menyusuli kehidupan jihad di beberapa tempat lain termasuk di dalam Perang Khandaq dan Khaibar.  Di dalam peperangan ini, Rasulullah memberikan bahagian harta rampasan perang berupa lapan puluh lima wasaq gandum dari Khaibar.  Fatimah juga ikut bergabung di dalam Fathul Makkah. Ketika itu, beliau menonjolkan sikap yang mulia dan terpuji apabila menolak untuk memberikan jaminan perlindungan bagi Abu Sufyan bin Harb.

KEKASIH RASULULLAH SAW
Rasulullah pernah ditanya oleh seseorang, “Siapakah orang yang paling engkau cintai?”. Baginda menjawab, “Fatimah”.   [(Diriwayatkan oleh Ab-Bukhary, Muslim dan Abu Dawud].  Al-Imam Adz-Zahaby Rahimahullah berkata, “Wanita yang paling dicintai oleh Rasulullah ialah Fatimah, sedangkan dari kaum lelaki ialah Ali”.

Diriwayatkan dari Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu, beliau berkata, “ Aku bertanya kepada Rasulullah, "siapakah yang engkau cintai di antara kami, akukah atau Fatimah?’, Baginda menjawab, ‘Fatimah lebih aku cintai daripada engkau, dan engkau lebih aku muliakan daripada Fatimah”.

Fatimah menduduki tempat yang tersendiri di dalam hati Rasulullah, yang tidak dapat ditandingi oleh wanita-wanita lain.  Cukuplah kemuliaan baginya seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah Radiallahu anha  melalui sanad Al-Imam Al-Bukhary, “Aku tidak melihat seorang pun di antara manusia yang lebih mirip dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,dalam perkataannya, dalam ucapannya, dan cara duduknya melainkan Fatimah.  Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melihat Fatimah datang, maka baginda menyambutnya, bangkit menghampirinya lalu memeluknya, memegang tangannya dan mendudukkannya di tempat yang sebelumnya baginda duduki.  Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang datang, maka Fatimah menyambut, bangkit menghampiri baginda dan memeluknya”.

Gambaran cinta Rasulullah kepada Fatimah turut difahami apabila setiap kegembiraan Fatimah adalah juga kegembiraan baginda, dan setiap kesedihan Fatimah adalah juga kesedihan bagi baginda Nabi.  Baginda pernah ‘membaca’ kesalahfahaman di antara puteri baginda dengan suaminya hanya melalui riak wajah Fatimah, lantas mendatangi keduanya untuk memberikan nasihat.  Beliau kemudiannya keluar dengan wajah yang berseri-seri dan bersabda “Apakah yangmenghalangiku (dari merasa bahagia)? Aku sudah mendamaikan dua orang yang paling kucintai”.

Sebagaimana Rasulullah senang dengan kegembiraan Fatimah, maka baginda juga marah kerana kemarahan Fatimah.  Baginda sangat memperhatikan perasaan puterinya.  Dikisahkan bahawa Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu pernah berkeinginan untuk melamar puteri Abu Jahal dan hal ini menimbulkan kesedihan Fatimah.  Rasulullah kemudiannya bangkit dan bersabda, "Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian dari diriku dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang menyakitinya. Demi Allah, puteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak boleh bersatu dengan puteri musuh Allah pada seorang lelaki (suami)”  [Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud].  Perkataan Rasulullah ini membatalkan hasrat Ali untuk melamar puteri Abu Jahal kerana ingin menjaga perasaan Fatimah.

Ibnu Abdil-Barr Rahimahumullah menyebutkan keluhuran Fatimah, yang mengisyaratkan keutamaan beliau di sisi Rasulullah dengan berkata, “Jika Rasulullah tiba dari peperangan atau perjalanan jauh, maka yang pertama sekali baginda lakukan ialah memasuki masjid lalu solat dua rakaat, menemui Fatimah dan barulah kemudiannya menemui isteri-isteri baginda yang lain.

PERJALANAN MENUJU KEABADIAN
Di akhir hayat Rasulullah, Ummul Mukminin Aisyah menuturkan, “Kami isteri-isteri baginda berkumpul hampir dengan Rasulullah . Baginda tidak mendekati salah seorang di antara kami,kecuali apabila melihat kehadiran Fatimah yang gaya jalannya sangat mirip dengan gaya jalan Rasulullah.  Baginda menyambut kehadiran puterinya lalu mendudukkannya sangat hampir di sisi dirinya.  Kemudian, baginda membisikkan perkataan yang mampu membuatkan Fatimah menangis, dan bisikan kedua pula menyebabkan Fatimah tersenyum.  Kami hanya mengetahui perkataan tersebut setelah Rasulullah wafat. 

Fatimah berkata, “Pada kali pertama, baginda memberitahukan kepadaku bahawa biasanya Jibril memperlihatkan Al-Quran sekali dalam setahun.  Sementara pada tahun ini, dia memperlihatkannya dua kali.  Baginda kemudiannya bersabda,” Aku tidak mengertikan yang demikian melainkan petanda ajal baginda kian hampir.  Maka bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah.  Sesungguhnya sebaik-baik orang-orang yang lebih dahulu berlalu bagimu adalah aku”.  Maka aku (Fatimah) pun menangis.  Ketika melihat kesedihanku, maka baginda bersabda,“Apakah engkau tidak redha sekiranya engkau menjadi pemimpin para wanita alam semesta atau para pemimpin wanita umat ini”.  Maka, aku pun tersenyum.”

Sepeninggalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kesihatan Fatimah semakin merosot kerana ditimpa penyakit dan lantaran kesedihan yang sangat mendalam.  Beliau akhirnya meninggal dunia pada malam selasa, tiga hari sebelum berakhirnya bulan Ramadhan pada tahun 11 Hijrah.  Ketika itu, beliau baru berusia 29 tahun.  Maka, benarlah apa yang pernah disebutkan oleh Rasulullah, bahawa beliau adalah orang yang pertama sekali dari keluarga baginda yang akan menyusuli pemergiannya.

NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Wanita penghuni syurga yang paling utama ialah Khadijah bintu Khuwailid, Fatimah bintu Muhammad, Asiah bintu Muzahim, isteri Firaun dan Maryam bintu Imran”.   [Diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim]

Hadis lain yang berisi khabar gembira buat Saidatina Fatimah sebagai penghuni syurga ialah hadis yang diriwayatkan oleh Hudzaifah Radiallahu anhu, bahawa Rasulullah bersabda,

Malaikat turun kepadaku menyampaikan khabar gembira bahawa Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.

Yang pasti, di dalam kehidupan Saidatina Fatimah Az-Zahra’ Radiallahu anha ini, banyak riwayat yang mengindikasikan khabar gembira seperti ini.  Beliau juga menduduki tingkat yang istimewa di antara puteri-puteri Rasulullah, sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnul Jauzy Radiallahu anhu, “Kami tidak mengetahui seorang pun di kalangan puteri-puteri Rasulullah yang menjadi penyandaran hadis selain Fatimah Radiallahu Anha”.  Beliau meriwayatkan 18 hadis dari Rasulullah, yang dimuatkan di dalam Kutubus-sittah, yang sebahagian di antaranya ditakhrij dalam Ash-Shahihain, satu hadis Muttafaq Alaihi.  Dan cukuplah keberkahan bagi dirinya kerana keturunan Nabawi hanya berasal darinya.

Semoga paparan kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra’ ini bakal dijadikan ikhtibar kepada para muslimah, lantaran watak peribadinya sebagai model sosok seorang anak yang berbakti kepada ibu bapanya, isteri yang sabar, wanita ahli ibadah, mujahidah, ibu yang bertakwa, yang taat,zuhud dan banyak memuji Allah serta mensyukuri nikmatNya.  Semoga Allah meredhai Saidatina Fatimah Radiallahu anha, menempatkan beliau di makam tertinggi dan sesungguhnya Dia tidak pernah menyalahi janjiNya.

Wallahua’alam bisshowab.


Sumber:  http://www.mykhilafah.com/srikandi-tauladan/1562

No comments:

Post a Comment

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim