i.
Bila sebut bulan Ogos, spontan terus ingat 'Hari Kemerdekaan'. Betul kan.. Alhamdulillah Malaysia telah mencapai kemerdekaan lebih daripada setengah abad. Pada tahun ini Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-55.
Merdeka tidak hanya bila kita bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi turut melihat daripada sudut bebas dari penjajahan mental dan spiritual. Kita harus mengekalkan jati diri serta budaya dan memantapkan diri dengan spiritual yang teguh iaitu faktor keagamaan. Kejayaan mengekalkan jati diri dan memantapkan faktor spiritual akan menjamin bahawa kita berjaya membebaskan diri dari belenggu penjajahan luar yang semakin meluas dewasa ini. Yang baik kita ambil jadikan panduan dan yang buruk kita jadikan sebagai pengajaran dan mengambil iktibar di sebaliknya.
ii.
Tahun ini sekali lagi kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri di bulan Ogos. Sambutan Aidil Firi yang kita raikan sempena kejayaan kita melalui bulan Ramadhan. Kita bukan hanya menahan lapar dan dahaga. Kita juga dituntut agar menjadi lebih baik dari sebelumnya. Berpuasa di bulan Ramadhan juga melatih kita menjadi lebih sabar serta prihatin terhadap insan lain. Di samping itu, Ramadhan juga mengajar kita untuk bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Yang Maha Esa. Ada insan lain yang kurang bernasib baik daripada kita serta serba kekurangan.
Daripada kedua-dua sambutan ini, Sha melihat ia sebagai satu wadah untuk bermuhasabah diri. Bukan mudah mengekalkan keharmonian negara tanpa wujud semangat kerjasama dan sayangkan negara. Bukan mudah juga untuk menjadi insan terbaik tanpa kita berubah ke arah yang lebih baik secara istiqamah. Kaizen!
No comments:
Post a Comment